Isnin, 16 September 2019

Sabar Dimanakah kita?

"Setiap manusia pastinya tidak dapat untuk mengelak daripada menempuhi pelbagai ranjau dan onak duri dalam kehidupan seharian. Cabaran yang dihadapi adakalanya dapat meningkatkan motivasi diri tetapi adakalanya juga mampu membawa manusia ke lembah kehancuran. Inilah tujuan ujian dan dugaan yang terpaksa kita tempuhi selaku makluk istimewa yang diciptakan Allah, juga sebagai khalifah di bumi. Ironinya, kehidupan ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Sesungguhnya, seseorang itu tidak layak digolongkan ke dalam golongan manusia sekiranya ia tidak langsung diuji oleh Tuhannya.

Pelbagai persoalan merempuh benak hati kita berkaitan keperitan musibah yang dihadapi. Hakikatnya, cabran dan dugaan ini tidak lebih sekadar untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran dalam diri manusia itu sendiri. Sabar tidak boleh ditakrifkan sekadar pada perlakuan sebaliknya perlu difahami secara terperinci mengikut metodologi pemerhatian dan pengkajian tentang pengertian sabar kepada hati nurani manusia. Sesungguhnya, Sabar itu memerlukan ilmu pengetahuan untuk kita memahami keperluannya terutama untuk kita aplikasikan dalam konteks diri kita sendiri, keluarga, dan masyarakat. Imam Al-Ghazali dalam kitab karangannya Ihya 'Ulumuddin menjelaskan maksud sabar iaitu menanggung segala kesukaran fizikal. Sabar juga membawa maksud menahan segala kehendak nafsu syahwat yang ada dalam diri seseorang yang sering menyuruh kita melakukan kemaksiatan kepada Allah. Sesungguhnya sifat sabar itu memerlukan penghayatan secara berterusan, bukan boleh diaplikasi kepada cara perlaksanaan semata-mata.

Sabar itu banyak jenisnya dan yang berada dalam konsep yang berlaku pada dirinya sekarang adalah konsep sabar dalam menghadapi musibah. Rasulullah s.a.w sendiri pernah ditimpa musibah ketika mana kematian puteranya Ibrahim, sehingga mengalir titisan air mata baginda kerana terlalu sedih. Pun begitu, baginda sendiri berkata: "Itulah tandanya rahmat ke atas hamba-hambaNya yang bersifat belas kasihan..

Hakikatnya, kecelakaan dan musibah serta malapetaka yang berlaku ke atas diri kita adalah bertujuan untuk menguji kesabaran manusia. Seseorang yang mengaku dirinya beragama Islam seharusnya bertenang walaupun gelojak jiwanya mengarah ke arah mengikut hawa nafsu seperti mana yang berlaku ke atas orang arab jahiliyah yang mengoyak-ngoyak baju, menampar pipi, tidak makan dan sebagainya akibat terlalu sedih. Jelas perbuatan tersebut lebih menjurus ke arah emosi semata-mata sedangkan sesuatu yang sudah berlaku itu tidak mungkin kembali kepada keadaan yang asalnya.

Kita harus menyedari bahawa segala musibah yang berlaku itu adalah ujian dari Allah, seterusnya yakin dan redha akan ketentuan qadha dan qadar Allah. Firman Allah:
mereka itulah yang diberikan pahalanya dua kali ganda disebabkan mereka bersabar - al-Qasas:54

Firman Allah lagi: Hanya orang yang sabar akan disempurnakan pahalanya tanpa kiraan - Az-zumar:10

Sebagai mukmin, kita tidak harus cepat putus asa, atau lemah semangat tetapi sentiasa mengharapkan rahmat dan redha Allah. Rasulullah pernah bersabda bahawa sesungguhnya setiap musibah yang berlaku itu tidaklah dijadikan oleh Allah secara sia-sia melainkan untuk menebus dengannya akan dosa-dosanya yang lalu. Saidina Ali ada bermadah: Jika engkau sabar, takdir itu akan berlaku juga pada dirimu, tetapi engkau dikurniakan ganjaran pahala. Akan tetapi, jika engkau tidak sabar sekalipun, takdir tetap berlaku juga cuma pada kali ini engkau berdosa.

Sesungguhnya di sebalik kesusahan ada rahmatNya. Sikap cepat melatah boleh memudaratkan diri kita sendiri kerana kita akan lebih mengutamakan emosi berbanding pemikiran yang waras. Tambahan pula, sikap seorang mukmin ialah mengutamakan metod ilmiah atau mudahnya memikirkan secara terperinci akan sesuatu hal sebelum tindakan diambil. Kita mesti bertindak atas dasar pemikiran yang waras. Kerana tindakan melulu tanpa berlandaskan akal fikiran, bisa mengundang bahaya dan kesusahan kepada diri kita sendiri.

Khamis, 12 September 2019

Belajar Berfikir



“Learning without thinking is useless. Thinking without learning is dangerous.” - Confucius

Benar sekali kata-kata Confucius itu.

Bahawa belajar tanpa berfikir adalah sia-sia, berfikir tanpa belajar adalah merbahaya!
Dua dimensi yang sama buruk ini harus kita renungkan bersama. Mungkin ia menjawab beberapa teka teki yang menghantui fikiran saya, tatkala hampir saban hari menerima soalan-soalan dari pembaca yang menunjukkan bahawa pembelajarannya tiada disertai dengan proses berfikir!

Amat lurus bendul fikirannya menadah maklumat hingga tahunya yang banyak itu, tidak berhasil membantu diri menjawab soalan kehidupan, di luar kertas peperiksaan.

Belajar tanpa berfikir adalah suatu kesia-siaan. Justeru tiada faedah pelajar lulus peperiksaan tetapi tidak menyertai latihan berfikir di sepanjang pembelajaran itu. Beliau lulus dengan hafalan, bukan dengan kefahaman. Tanda kelulusan dengan hafalan dan bukan kefahaman, ialah apabila hafalannya tidak dapat menguruskan realiti. Tafsirannya di awangan, terjemahannya berterbangan. Ideanya sangat tekstual, hingga teks berpisah dari konteks.

“Agama tidak tertegak dengan logik akal”, tegasnya.
“Agama juga tidak tertegak dengan membunuh akal”, itu jawabnya.
Lalu agama dibentangkan secara yang sungguh tidak masuk akal, demi memenangkan teks yang tidak diprosesnya melalui disiplin fikir.

Muktazilah yang meletakkan akal mengatasi naqal (nas periwayatan), telah diuruskan nasib mereka oleh sejarah. Tetapi membuang Muktazilah, tidak harus sampai membuang akal. Proses berfikir harus diteruskan, kerana tanpa berfikir, taqlid jadi parah, perjuangan membunuh taqlid juga menghasilkan taqlid yang kedua.

Terimalah teguran-teguran Allah, kepada manusia yang enggan berfikir. Hakikatnya kemalasan berfikir adalah suatu dosa.

BERFIKIR TANPA BELAJAR

Berfikir menggerakkan diri mencari kebenaran, mengenal pasti kebaikan. Justeru berfikir mesti segera bertemu bekal, agar jangan sudahnya bebal.
Banyak sungguh soalan yang mahu ditanya. Tetapi sedikit sekali usaha untuk menjawabnya.
Bersoal jawab adalah proses belajar yang penting. Tetapi tasawwur sukar dibina hanya dengan soal jawab. Bertanya kepada google.com  atau Ustaz Haji Google.Com, kedua-duanya akan membekalkan kita dengan jawapan, tetapi tidak membantu membina gambaran.
Kita menyoal dan bertanya…

“Kenapa Islam menegah homoseksualiti? Sedangkan 1/10 penguin adalah gay!”, tanya satu soalan.
“Kenapa Allah berkata bahawa bumi dicipta selama enam hari sedangkan Sains membuktikan sebaliknya?”, tanya soalan kedua.

Soalan ini boleh berterusan dan tidak berkesudahan. Tetapi memperolehi jawapan secara pasang siap, tanpa diketahui proses untuk menghasilkan jawapan itu, akan menyebabkan soalan yang dijawab bersambung dengan soalan yang seterusnya. Dan selepas siri soalan itu terjawab, banyak soalan sudah selesai tetapi lebih banyak lagi soalan lain yang datang.
Ia adalah kepingan-kepingan puzzle yang tidak bercantum.

Justeru orang yang banyak bertanya, kerana banyak berfikir, harus banyak belajar. Belajar dalam erti kata bukan setakat bergantung kepada jawapan hasil soalan, tetapi harus belajar mengenal proses menghasilkan jawapan itu.

Misalnya, sebutan 6 hari, adalah sebutan yang bergantung kepada terjemahan al-Quran. Sedangkan di dalam bahasa asal al-Quran, sebutannya ialah sittah ayyaam. Perkataan ayyaam di dalam Bahasa Arab, tidak terikat hanya kepada apa yang diterjemahkan sebagai HARI iaitu himpunan satu unit masa yang terbentuk dari 24 jam. Kalimah ayyaam boleh diertikan sebagai peringkat atau marhalah… justeru keterangan al-Quran tentang cara Allah mencipta bumi, tidak harus difahami dengan hanya bergantung kepada terjemahan, sebaliknya harus kembali kepada Bahasa Arab.
Adakah sittah ayyam itu enam hari, enam marhalah (stages) atau enam apa?
Sudikah anda belajar Bahasa Arab?

Kata Confucius, “berfikir tanpa belajar itu merbahaya”. Merbahayanya ia adalah pada terjun ke laut tanpa pelampung, berenang di lautan tanpa diketahui pantainya. Selepas segala maklumat diperolehi dari capaian internet di hujung jari, apa yang terus menjadi beban ke atas golongan ini, adalah kegagalannya melihat rupa bentuk agama.
Mana hujung, mana pangkalnya.
Mana pintu, mana tingkapnya.

Menyoal pelbagai isu tentang al-Quran tetapi tiada kesudian untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan asas untuk berinteraksi dengan al-Quran. Bahasa Arabnya, asbab al-nuzul, ghara’ib lafaznya, nasakh mansukhnya, sudikah manusia yang banyak berfikir ini belajar?
Atau banyak berfikir dan banyak bertanya, tetapi apa yang diinginkan hanya keputusan akhir semata. Boleh atau tidak, halal atau haram… tetapi enggan berusaha memahami prosesnya.

Pelajar bukan pemikir sia-sia.
Pemikir bukan pelajar  merbahaya.



Selasa, 10 September 2019

MARI MENGENAL ANTIBODI

#vaksinlahbeb

Antibodi adalah salah satu cara tubuh mengenal dan melawan jangkitan. Antibodi atau immunoglobulin dirembes oleh sem-sel B.

Antibodi boleh jadi molekul yang bebas dirembes keluar dari sel kedalam plasma darah, atau melekat pada permukaan sel B sebagai reseptor sel B (BCR).

Fungsi antibodi adalah untuk mengenal patogen atau antigen asing. Antibodi akan melekat pada antigen tersebut dan mengaruh aktiviti mengenyahkan antigen tersebut dari tubuh. Sama ada mengaruh pematian antigen itu sendiri atau mengaruh sel imun melakukan fagositosis.

BAGAIMANA ANTIBODI MENGENAL ANTIGEN?

Antibodi adalah molekul glikoprotein berbentuk Y. Dihujung dua tangan (arm) yang membentuk Y tersebut terdapat bahagian ‘paratope’ yang unik.

Kenapa ia unik?

Paratop tersebut adalah ‘memori’ yang mengenal antigen pada bakteria atau virus. Unik terhadap bakteria atau virus tersebut.

Macam mesin pengenalan cap cari yang telah tersimpan data kita. Kita sua saja jari kita, sekaligus ia akan mengenal identiti dan mengakses data kita.

Seperti cap jari kita, paratop tersebut adalah unik dan identikal dengan bahagian unik bakteria atau virus (digelar epitop).

JADI BAGAIMANA PULA TUBUH KITA BOLEH MEMPUNYAI PELBAGAI DATABASE BAKTERIA, VIRUS DAN PATOGEN LAIN?

Pengenalan unik tersebut diperoleh apabila sel imun kita ‘bertemu’ dengan patogen. Bagi patogen unik, ia tersimpan dalam sel T dan sel B memori yang merembes antibodi.

Apabila sel-sel imun kita bertemu, mengenal dan membina pertahanan terhadap patogen, barulah maklumat tersebut tersimpan dalam sel-sel imun memori kita. Sel-sel tersebut berfungsi sebagai database virus bakteria tubuh kita lah.

Kalau tak pernah jumpa? Mungkin kawan atau lawan tak akan dapat dikenal. Hanya apabila dijangkiti barulah kita mengenal patogen tersebut.

FUNGSI VAKSIN

Fungsi vaksin adalah bagi mengenalkan tubuh kita terhadap bakteria atau virus khusus dalam vaksin tersebut.

Kalau vaksin terhadap polio, kita mengenalkan tubuh kita dengan virus polio. Kalau vaksin measles, kita kenalkan sel imun tubuh kita dengan virus measles. Kalau vaksin meningococcal, kita kenalkan tubuh kita dengan bakteria Meningococcal meningitidis melalui epitop polisakaridanya.

Lain vaksin, lain mekanisma pengenalan epitopnya terhadap tubuh. Namun, setiap vaksin unik untuk membina imuniti terhadap bakteria atau virus khusus.

Macam kita beli antivirus komputer, mesti ada database pengenalan terhadap virus kan? Kalau virus baru yang tidak dikenal... mahal macam mana pun antivirus korup lah juga komputer 🙈

Tak bahayakah kenalkan tubuh dengan patogen bahaya, virus? Bakteria?

Fungsi vaksin adalah untuk

(1) mengaruh tubuh mengenal patogen khusus dan membina imuniti terhadapnya dengan memberi pengenalan terhadap epitop unik bakteria atau virus tersebut.

(2) Aruhan imun tersebut tidak akan mendatangkan jangkitan. Kerana sediaan vaksin menggunakan hanya sebahagian bakteria (seperti vaksin meningococcal hanya polisakarida kapsul luar bakteria sahaja), atau mengunakan patogen mati (polio) atau dilemahkan (MMR).

PENGAMBILAN VITAMIN MENINGKATKAN PARAS ANTIBODI?

Ya benar. Pengambilan sesetengah vitamin meningkatkan paras antibodi. Tetapi yang paling utama sekarang, jika antibodi tersebut tidak mempunyai paratop pengenalan terhadap bakteria dan virus khusus... ia tidak bermakna juga.

Sebab? Maklumat virus dan bakteria khusus tersebut tidak ada dalam ‘database’ tubuh kita. Yang ada cuma antibodi yang mengenal patogen umum. Jadi yang meningkat tinggi dengan pengambilan vitamin adalah antibodi terhadap patogen umum.

Bagaimana mahu melawan ketenteraan US sedangkan maklumat kita hanya pada ketenteraan negara Gabon?

Togoklah, telanlah megadose vitamin. Tubuh kita perlu mengenal patogen baru dapat melawan dan membina pertahanan terhadap patogen tersebut.

Haaa... dah kenal konsep antibodi kan?
Nanti slow slowww kita bincang pasal IgA, IgG, IgM, IgE pula ya. Semua adalah jenis2 antibodi imunoglobulin. Mesti ada paratop pengenalan juga. Cuma beza asal, lokaliti dan fungsinya.

RUJUKAN

Janeway C (2001). Immunobiology (5th ed.). Garland Publishing.

Wahl A, van den Akker E, Klaric L, Štambuk J, Benedetti E, Plomp R, Razdorov G, Trbojević-Akmačić I, Deelen J, Van Heemst D, Slagboom PE. Genome-wide association study on immunoglobulin G glycosylation patterns. Frontiers in immunology. 2018 Feb 26;9:277.

Feature Post

HUKUM KENAKAN CAJ APABILA PENYEWA TAMAT KONTRAK LEBIH AWAL.

HUKUM KENAKAN CAJ APABILA PENYEWA TAMAT KONTRAK LEBIH AWAL. SOALAN : Saya ingin bertanya berkenaan sewaan di dalam Islam. Boleh ...

Popular Post