Jumaat, 5 April 2019

Fanatik menutup fikiran

FANATIK MENUTUP FIKIRAN

1. Sama ada dahulu atau sekarang, seseorang tidak akan dapat menjadi insan yang adil terhadap sesuatu hakikat dan maju ke hadapan jika dia bersifat jumud dan menutup pemikirannya dari mendengar dalil dan fakta disebabkan sesuatu sentimen. Sikap yang seperti itu dinamakan dengan fanatik atau taksub. Mereka yang taksub kepada pendapat seseorang, enggan mendengar pendapat orang lain sekalipun pihak yang lain itu telah memberikan hujah dan dalil yang kukuh. Sesuatu pendapat itu sepatutnya diterima bukan atas nama individu tetapi atas alasan atau fakta yang diberikan.

2. Fanatik ini telah berlaku di kalangan sesetengah umat Islam sejak dahulu. Ia sehingga membawa kepada permusuhan sesama Islam dek perbezaan pendapat dalam hukum syarak. Sehingga dalam era ketaksuban dahulu, di Masjidil Haram, Mekah umat Islam bersolat dengan empat imam dan setiap imam mewakili mazhab masing-masing. Setiap makmum akan memilih imam yang sesuai dengan mazhabnya. Seakan-akan solat di belakang imam lain tidak sah. Hal ini berterusan, sehinggalah gerakan pembaharuan pemikiran agama berjaya menghapuskan kekarutan tersebut. Bayangkanlah jika hal tersebut berterusan sehingga hari, di kala umat Islam begitu lemah dan berpecah.

3. Selepas Rasulullah s.a.w wafat, baginda meninggalkan ramai para sahabah yang merupakan ilmuwan besar bagi umat ini. Namun, tiada seorang di kalangan para sahabah yang agung itu menyatakan sesiapa yang mengambil pendapat saya maka dia tidak boleh mengambil pendapat orang lain. Perkara yang seperti itu tidak pernah dilakukan oleh khalifah yang empat Abu Bakr, Umar, Uthman dan ‘Ali. Tidak juga ‘Abd Allah bin Masud, ‘Abd Allah bin ‘Umar, atau ‘Abd Allah bin ‘Abbas atau selain mereka. Padahal mereka jauh lebih memahami syariat RasululLah s.a.w dibandingkan orang selapas mereka.

4. Malangnya, apabila zaman imam-imam mazhab yang utama seperti al-Imam Abu Hanifah (80H-150H), al-Imam Malik bin Anas (93H-179H), al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150H-204H), al-Imam Ahmad bin Hanbal (164H-241H) dan lain-lain tokoh lagi, tiba-tiba ada dalam kalangan pengikut mereka yang taksub lalu mendakwa bahawa sesiapa yang mengambil pendapat dari salah seorang imam ini tidak boleh lagi mengambil pendapat dari imam yang lain. Ini seperti pengikut fanatik Mazhab Hanafi yang membantah orang Pakistan mengambil pendapat  selain dari Mazhab Hanafi. Atau pengikut fanatik Mazhab Malik yang menghalang membantah orang Morocco mengambil pendapat selain dari Mazhab Malik. Atau pengikut fanatik Mazhab al-Syafi’i yang membantah orang Malaysia mengambil selain dari Mazhab al-Syafi’i. Atau fanatik Mazhab Hanbali di Saudi yang membantah selain dari pendapat dalam Mazhab Hanbali.

5.  Kontradiknya, dalam masa yang sama mereka mengakui bahawa imam-imam tersebut kesemuanya adalah tokoh-tokoh sarjana Ahli Sunnah, tetapi menolak keilmuan mereka hanya kerana faktor daerah atau negara. Pada hal, para imam itu sendiri tidak pernah mengajar demikian dan kebanyakan negara-negara yang wujud ini belum pun terbentuk pada zaman mereka apatah lagi pada Rasul s.a.w.

6. Tokoh ulama dan fekah yang terkenal, Dr ‘Abd al-Karim Zaidan berkata: “Pendapat mazhab-mazhab yang muktabar diterima oleh pengikut mereka di atas andaian benar dan menyampaikan seseorang kepada hukum Allah. Hendaklah difahami bahawa andaian benar ini dikongsi oleh semua mazhab islamiah yang muktabar, bukan hanya terkumpul pada satu mazhab. Maka tidak harus untuk pengikut salah satu mazhab ini menganggap bahawa telah terhimpun dalam mazhabnya kebenaran dalam setiap pandangan. Lalu menganggap salah sesiapa yang menyanggahi mazhabnya. Ini perkara yang tidak pernah diucapkan oleh mana-mana mazhab, tidak pernah mereka menyandarkan hal seperti ini kepada diri mereka dan tidak pernah menganggap kebenaran hanya terkumpul dalam ijtihad mereka. Bagaimana mungkin pengikut mereka pula mendakwa perkara yang seperti ini?!! (Dr Abd al-Karim Zaidan, Al-Sunan al-Ilahiyyah,  m.s. 147, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Feature Post

HUKUM KENAKAN CAJ APABILA PENYEWA TAMAT KONTRAK LEBIH AWAL.

HUKUM KENAKAN CAJ APABILA PENYEWA TAMAT KONTRAK LEBIH AWAL. SOALAN : Saya ingin bertanya berkenaan sewaan di dalam Islam. Boleh ...

Popular Post