Larangan menyimpan kad pengenalan

KEMENTERIAN KESELAMATAN DALAM NEGERI

LARANGAN MENYIMPAN KAD PENGENALAN DAN DOKUMEN PENGENALAN DIRI PELAWAT OLEH PENGAWAL KESELAMATAN DI PREMIS-PREMIS PERSENDIRIAN

TUJUAN

1. Tujuan Surat Pekeliling Agensi Persendirian Bil. 2/2007 ini adalah untuk memaklumkan kepada semua Syarikat Kawalan Keselamatan berkenaan garis panduan penyimpanan dokumen identiti pelawat yang memasuki premis seperti kondominium, kawasan perumahan dan komuniti berpagar di seluruh negara.

LATAR BELAKANG

2. Kementerian ini telah menerima laporan dan aduan daripada orang awam mengenai amalan syarikat kawalan keselamatan persendirian yang meminta dan menyimpan dokumen identiti seperti kad pengenalan, pasport dan lesen memandu milik para pelawat sebelum dibenarkan memasuki premis mereka. Amalan ini bertujuan untuk memastikan identiti semua pelawat yang masuk direkodkan dan dipantau demi keselamatan dan ketenteraman penduduk di premis berkenaan.

3. Amalan ini dilakukan oleh syarikat kawalan keselamatan adalah berdasarkan kepada peraturan dalaman yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan premis tempat mereka bekerja atau pun pihak majikan. Terdapat aduan daripada orang awam yang tidak puas hati dengan amalan ini kerana ia boleh membawa kepada insiden tidak diingini seperti pencurian identiti dan pemalsuan dokumen.

4. Berdasarkan aduan tersebut, Kementerian telah membuat semakan dari sudut perundangan sama ada amalan yang dibuat oleh syarikat kawalan keselamatan ini boleh diteruskan atau dihentikan. Terdapat dua (2) peruntukan undang-undang dalam Peraturan- Peraturan Pendaftaran Kebangsaan 1990 [P.U. (A) 472/1990] yang menyentuh berkenaan dengan pengeluaran dan pemeriksaan dokumen identiti seperti kad pengenalan, pasport dan lesen memandu milik para pelawat iaitu sebagaimana yang berikut:

4.1 Peruntukan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Kebangsaan 1990 memperuntukkan bahawa hanya seorang pegawai pendaftaran, pegawai polis, pegawai kastam, pegawai tentera atau pegawai lain yang diberi kuasa bertulis oleh Ketua Pengarah Pendaftaran sahaja yang dibenarkan untuk meminta dan memeriksa identiti seseorang dengan mengemukakan kad pengenalan.

4.2 Di bawah Peraturan 8A memperuntukkan bahawa adalah menjadi suatu kesalahan jenayah bagi mana-mana orang selain dari pegawai-pegawai yang dinamakan di peraturan 7 untuk secara tidak munasabahnya menahan kad pengenalan milik orang lain.

5. Berdasarkan peruntukan-peruntukan tersebut jelas menyatakan bahawa hanya pegawai yang diberi kuasa di bawah Peraturan- Peraturan Pendaftaran Kebangsaan 1990 sahaja boleh untuk meminta dan memeriksa dokumen identiti seseorang itu. Kesalahan juga dikenakan kepada mana-mana orang selain daripada pegawai- pegawai yang dinamakan dalam peraturan 7 untuk secara tidak munasabahnya menahan kad pengenalan milik orang lain. Oleh yang demikian, amalan pegawai keselamatan menyimpan kad pengenalan milik pelawat adalah bertentangan dengan peruntukan undang- undang.

6. Sehubungan itu, Kementerian ini meminta semua syarikat kawalan keselamatan memberhentikan serta-merta amalan menyimpan dokumen sekuriti pelawat yang memasuki premis persendirian seperti kondominium dan komuniti berpagar seperti yang diamalkan. Syarikat kawalan keselamatan hanya boleh meminta dokumen identiti pelawat semata-mata bagi tujuan semakan dan rekod kemasukan ke premis dan kemudian mengembalikannya kepada pelawat selepas identiti mereka direkodkan.

7. Selain daripada itu, semua syarikat kawalan keselamatan yang mengeluarkan peraturan dalaman untuk kawalan sesuatu premis kediaman awam hendaklah mengemukakan peraturan tersebut kepada Kementerian ini bagi tujuan semakan dan kelulusan sebelum sesuatu peraturan itu berkuat kuasa.


Ulasan

Popular Post

Kata Kata hikmah

KWSP vs PENCEN

Payudara

Skim rumah pertama

Banjir di kemaman