Putera yang Soleh

Satu kisah yang terkenal mengenai seorang putera. Putera Ahmad, dia adalah salah seorang putera Khalifah Harun Ar-Rasyid yang sangat berbeza pendiriannya daripada putera-putera yang lain. Dia lebih suka berzikir kepada Allah سبحانه وتعالى daripada membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan melalaikan.

Di antara kata-kata masyhur yang pernah diluahkannya; “Wahai ahli kubur! Engkau adalah orang yang telah mendahului kami menghadap Allah سبحانه وتعالى. Aku tahu bahawa engkau adalah orang yang pernah memiliki dan menakluki dunia ini semasa hidupmu, tapi aku tidak nampak dunia ini dapat menyelamatkan engkau daripada ajal."

"Dan akhirnya engkau dihalau juga ke kubur, begitulah juga nasibku, sama seperti engkau.”

Pada suatu hari Ahmad datang kepada ayahandanya yang sedang berada di majlis rasmi bersama para menteri. Seperti biasa dia memakai jubah sufi daripada kain kasar dan di kepalanya pula terlilit serban yang sudah lusuh."

Beberapa orang menteri merasa tidak senang dengan kehadirannya dan melaporkan perkara itu kepada khalifah. Khalifah pada mulanya tidak begitu mengambil kisah akan keadaan anaknya itu tetapi bila laporan dibuat. Maka khalifah terpaksa bertindak dan berkata; “Wahai anakku! Pakaian dan keadaan dirimu itu menyinggung perasaanku di hadapan pembesar negara, pakailah pakaian yang elok-elok dan bersopan.”

Putera Ahmad yang memang terdidik sejak kecil lagi tidak menjawab dan membangkang perkataan ayahandanya, sebaliknya memandang ke bumbung istana, melihat seekor burung sedang bertenggek di atas salah satu palang istana. Dia berkata; “Wahai burung, demi Allah yang menjadikan engkau, sila ke mari!”

Kata Ahmad sambil menghulurkan tapak tangannya. Burung itu pun terbang dan hinggap di tangannya.
Kemudian putera Ahmad berkata kepada burung itu; “Wahai burung, sila engkau balik semula ke tempatmu.”
Ketika itu juga burung tersebut terbang semula ke atas palang bumbung istana.

Kejadian yang dianggap ajaib ini membuatkan orang yang hadir termasuk khalifah menjadi hairan. Namun beliau sedar bahawa puteranya yang satu ini, memang mempunyai maqam yang tinggi di sisi Allah سبحانه وتعالى.

"Selepas itu putera Ahmad berkata kepada khalifah;
“Wahai ayahanda! Hulurkan tangan ayahanda.”
Khalifah Harun ar-Rasyid terkejut mendengar pemintaan anaknya itu. Bagaimanapun Khalifah Harun ar-Rasyid menghulurkan tangannya.
Kemudian putera Ahmad berkata;
“Wahai burung! Demi Allah yang telah menjadikan engkau, silalah engkau hinggap di tangan khalifah.”

Burung itu tidak mahu menurut perintahnya. Khalifah menjadi gelisah dan serba salah apatah lagi semua mata tertumpu ke arahnya. Para hadirin berbisik sesama sendiri membuat pelbagai andaian mengapa burung itu tidak mahu hinggap di tangan Khalifah Harun ar-Rasyid.

Kemudian putera Ahmad berkata lagi kepada ayahandanya;
“Ayahanda, jangan sampai ayahanda mati di dalam kealpaan dan keseronokan dunia sehingga burung pun tak mahu mendekati ayahanda. Kalau ayahanda merasa malu disebabkan saya berada di sini, baiklah saya akan keluar dari istana ini.”

Khalifah menghalang anaknya, namun putera Ahmad tetap dengan pendiriannya. Khalifah pasrah dengan keputusan anaknya itu. Maka keluarlah putera ini meninggalkan bapanya dan segala kemewahan menuju ke Basrah.

Dia tidak membawa apa-apa bekalan selain daripada sebuah Mushaf Al-Qur’an dan sebentuk cincin di jari pemberian ibunya. Cincin itu asalnya adalah milik Khalifah Harun ar-Rasyid yang dihadiahkan kepada isterinya.

Setibanya di Basrah, sedang Ahmad mundar-mandir di tempat kerja mengorek tanah, tiba-tiba beliau disapa oleh Syeikh Abdullah Ibnu Farad, seorang bangsawan di situ. Syeikh berkata;
“Wahai anak muda, adakah engkau mencari kerja?” “Ya, saya sedang mencari kerja untuk menampung keperluan hidup”, sahut Putera Ahmad."

“Kalau begitu, kerjalah dengan saya kerana kebetulan saya sangat memerlukan pekerja untuk menyiapkan pembinaan rumah dan parit.”
“Wahai orang kaya, saya setuju tetapi ada dua syarat sebelum saya memulakan kerja"; Jawab putera Ahmad.

“Apa syaratnya?”; tanya Syeikh Abdullah. “Pertama, saya mahu diupah hanya untuk keperluan makan saja, dan yang kedua, tuan mengizinkan saya solat setiap kali masuk waktu.”; Kata Putera Ahmad. Setelah keduanya bersetuju maka bekerjalah anak muda ini dengan rajin dan tidak mencuri tulang.

Apabila masuk waktu solat, dia berhenti dan menunaikan solat, kemudian menyambung kerjanya semula. Pada hari itu apabila Syeikh Abdullah datang kembali ke tempat kerjanya, alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati hasil kerja putera Ahmad ini sama dengan kerja yang dibuat oleh sepuluh orang.

Oleh kerana itu Syeikh Abdullah merasa tidak patut upahnya dibayar seperti yang dimintanya. Maka beliau pun menghulurkan dua dirham kepada Ahmad; “Tuan, mengapa upah saya ditambah menjadi dua dirham?”; Tanya Putera Ahmad.

“Engkau seorang yang rajin, hasil kerjamu sama seperti pekerjaan yang dibuat oleh sepuluh orang, adalah zalim sekiranya saya membayar upahmu hanya untuk keperluan makanmu saja.”; Jawab Sheikh Abdullah.

“Tidak boleh tuan, kita sudah berjanji dengan upah satu perpuluhan enam dirham, tidak boleh lebih, sila ambil bakinya”, Jawabnya tegas. Syeikh Abdullah bertambah hairan, baru sekarang dia berjumpa dengan pekerja yang tidak mahu dibayar lebih, walaupun kerjanya sangat banyak.

Beliau merasakan rezekinya semakin bertambah dengan adanya pekerja seperti anak muda ini yang tidak tahu penat lelah. Setiap pekerjaan yang diamanahkannya dapat diselesaikan dalam jangka waktu yang singkat. Pada suatu hari, Syeikh Abdullah cuba mengintai bagaimana Ahmad melakukan pekerjaannya.

Syeikh Abdullah bersembunyi-sembunyi mengintip, apa yang dilihatnya amat memeranjatkan. Putera Ahmad hanya duduk disatu tempat membaca Al-Quran dan batu-batu sendiri berterbangan tersusun ditempatnya sehingga terbina bangunan.

Baru Syeikh Abdullah mengetahui mengapa hasil pekerjaannya begitu pantas sekali. Dan fahamlah Syeikh Abdullah bahawa anak muda ini adalah seorang wali Allah سبحانه وتعالى. Sehinggalah setelah beberapa lama bekerja, tiba-tiba pada suatu hari Putera Ahmad tidak datang bekerja menyebabkan Syeikh Abdullah tertanya-tanya, mungkinkah beliau berhalangan atau sakit.

Setelah masuk hari kedua, Putera Ahmad masih juga tidak muncul. Maka Syeikh Abdullah mengambil keputusan mencarinya sendiri.
Setelah mendapat maklumat daripada orang ramai, akhirnya beliau dapati anak muda itu sedang sakit terlantar di pondok buruknya.

Syeikh Abdullah sangat terkejut kerana tempat tinggalnya hanyalah pondok yang tidak berpintu serta beliau tidur hanya beralaskan pecahan batu bata. Beliau kelihatannya sangat lemah tidak bermaya dan tenat.

Setelah memberi salam, Syeikh Abdullah mengangkat kepala anak muda itu dan diletakkan ke ribanya. Apabila mengetahui bahawa yang datang itu adalah Syeikh Abdullah iaitu majikannya, Putera Ahmad kuatkan dirinya dan berkata;
“Tuan sungguh baik hati! Tuan mengambil berat tentang diri saya. Ketahuilah, tuan akan ditanya di akhirat nanti, apa tanggungjawab tuan kepada saya."

"Tuan, janganlah mudah tertipu oleh nikmat dunia, ingatlah nikmat itu akan habis, umur pun akan berakhir. Jika tuan mengusung mayat saudara tuan ke kubur, ingatlah tuan juga akan diusung ke sana suatu hari nanti.”

Suasana sedih itu membuatkan Syeikh Abdullah menitiskan air mata. Nasihat daripada anak muda ini sedikit sebanyak menyedarkan dirinya bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui mati. Putera Ahmad berkata lagi;
“Tuan, mahukah tuan berjanji jika roh saya telah berpisah daripada tubuh, hendaklah tuan sendiri yang memandikannya, tuan kafankan mayat saya dengan jubah yang saya pakai ini?” Sambungnya lagi.

“Ya, saya berjanji, tapi kenapa aku tidak boleh kafan mayatmu dengan kain kafan yang baru?” Ujar Syeikh Abdullah yang tidak dapat menahan air matanya. Jawab putera;
“Tuan, ketahuilah, orang yang masih hidup lebih memerlukan pada yang baru daripada orang yang sudah mati."

"Pakaian akan hancur sedangkan amal akan kekal selamanya”, katanya yang semakin tenat.
Di dalam suanana pilu itu anak muda ini sempat berkata; “Tuan, ambillah bungkusan dan serban ini untuk diberikan kepada tukang gali kubur."

"Dan Mushaf dan cincin ini tolong sampaikan kepada pemerintah, Khalifah Harun ar-Rasyid.”
Sampai di sini airmata Syeikh Abdullah tidak dapat dibendung lagi, kerana sangat terharu mendengar wasiat anak muda ini yang sudah hampir ajalnya menghadap Allah سبحانه وتعالى."

Namun untuk memudahkan beliau menerima wasiat itu, ditunjukkan wajahnya yang gembira.
Anak muda itu melanjutkan wasiatnya; “Saya mohon disampaikan barang ini tuan dengan tanganmu sendiri, jangan melalui perantaraan orang lain. Katakan kepada Amirul Mukminin;
“Wahai Amirul Mukminin, ini ada amanah daripada seorang lelaki muda yang tidak saya kenali dan disuruh sampaikan kepada tuan."

Anak muda itu berpesan kepada Amirul Mukminin; “Jangan sampai engkau mati di dalam kealpaan dan keseronokan dunia.” Sebaik saja anak muda ini berkata sedemikian, rohnya pun melayang dicabut malaikat dan pergilah anak muda ini menemui Tuhannya yang dirindui selama ini.

Setelah menyempurnakan mayat Putera Ahmad sebagaimana yang diwasiatkan, maka Syeikh Abdullah pun bersiap untuk menyampaikan wasiat yang kedua iaitu menyerahkan barang anak muda ini kepada Khalifah Harun ar-Rasyid.

Setelah sampai berjumpa dihadapan khalifah, syeikh abdullah berkata; “Wahai Amirul Mukminin! Saya Abdullah ibnu Farad. Saya ada menerima wasiat daripada seorang anak muda yang tidak dikenali untuk diserahkan barang ini kepada tuan dengan pesanannya agar jangan sampai tuan mati di dalam keadaan kealpaan dan keseronokan dunia."

Sebaik saja Amirul Mukminin melihat Mushaf dan cincin takhta kerajaan, tiba-tiba badan baginda gementar dan mukanya berubah teringatkan anaknya yang pergi tanpa berita itu. Apa lagi kata-kata itu pernah didengarnya suatu waktu dulu. Khalifah berkata; “Dekatlah diri engkau denganku, ceritakan apa yang berlaku”, kata Amirul Mukminin.

Terjadilah perbualan yang sangat mengharukan antara Khalifah Harun ar-Rasyid dengan Syeikh Abdullah yang pernah menjadi majikan kepada puteranya;
“Wahai Syeikh Abdullah! Semasa hayatnya pekerjaan apa yang engkau bagi kepadanya?” Soal Amirul Mukminin.

“Mengorek tanah dan mengecat rumah”; jawab Syeikh Abdullah jujur. “Wahai Abdullah, adakah sampainya hati engkau menjadikan orang yang bersambung nasab dengan nasab Rasulullah ﷺ sebagai pekerja yang sedemikian?” Tanya Khalifah.

“Saya mohon maaf wahai Amirul Mukminin. Sebenarnya saya tidak mengetahui putera itu anak tuan”; kata Syeikh Abdullah. Khalifah tidak dapat menahan sebak mengenangkan kisah perjalanan anaknya yang menempuh jalan zuhud itu dan akhirnya menemui Allah.

Khalifah berkata; “Wahai Abdullah, dia adalah anakku yang dilahirkan sebelum aku menaiki takhta sebagai khalifah. Dan dia tumbuh menjadi anak yang soleh. Dia menghafal Al-Qur’an dan mempelajari ilmu syari'at. Ketika aku diangkat menjadi khalifah dia meninggalkan aku dan tidak mahu menikmati harta dunia yang aku miliki walaupun sedikit."

"Maka aku menyerahkan cincin ini kepada ibunya, ia adalah permata yang sangat mahal harganya.
Aku berkata kepada ibunya;
"Kamu serahkan cincin ini kepada anak kita dan mintalah agar dia membawanya agar dia boleh memanfaatkannya suatu hari kelak."

"Dia adalah seorang anak yang sangat berbakti kepada ibunya. Semenjak ibunya meninggalkan aku tidak pernah lagi mendengar beritanya kecuali khabar yang telah engkau sampaikan kepadaku"
Sambung Khalifah lagi. Setelah pertemuan antara khalifah dan syeikh abdullah selesai. Syeikh abdullah pun pulang.

Sehingga, pada suatu malam Syeikh Abdullah bermimpi bertemu sekelompok benda putih seakan-akan awan. Dan di bawahnya ada sebuah kubah yang dibuat daripada cahaya. Seketika kemudian awan itu pecah dan muncul seorang anak muda dari dalam tersebut.

Dia berkata;
“Wahai Syeikh Abdullah! Semoga Allah سبحانه وتعال membalas jasa-jasa baik tuan yang telah mengambil berat terhadap diri saya dengan mengurniakan kebaikan yang banyak sekali.” “Wahai Ahmad, engkau di mana sekarang?” Tanya Syeikh Abdullah.

“Saya telah pergi menemui Tuhan Yang Maha Mulia, Allah سبحانه وتعالى telah meredhai saya, Dia telah memberikan saya pemberian yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, tidak pernah terlintas di hati manusia”; jawab putera itu.

Kemudian anak muda itu menasihatkan Syeikh Abdullah;
"Janganlah manusia keluar dari dunia yang fana ini kecuali di dalam keadaan keredhaan Allah سبحانه وتعالى. Kemudian Syeikh Abdullah terjaga daripada tidurnya lalu tersenyum dan beliau menceritakannya kepada Khalifah Harun ar-Rashid. Maka terubatlah sedikit hati khalifah bila mendengarnya.

Guru mulia. Tasawwuf. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.

(Raudhatul Muhibbin)

Ulasan

Popular Post

Kata Kata hikmah

KWSP vs PENCEN

Payudara

Skim rumah pertama

Banjir di kemaman