Kepentingan Ilmu

Sesungguhnya Allah s.w.t tidak memuliakan manusia dengan kekuatan tubuh badan mahu
pun ketegapannya dan tidak pula Allah s.w.t memuliakan seseorang dengan ketampanan paras rupanya dan ketinggian tubuh badannya. Akan tetapi Allah s.w.t memuliakan manusia kerana akalnya. Allah s.w.t mengurniakan kepada manusia akal untuk memakmurkan bumi ini dan untuk mengabdikan diri mrereka kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Namun kemampuan akal terbatas untuk memikirkan semua perkara yang ada dan untuk mengenali Allah s.w.t. Walaupun akal itu dikurniakan Allah dengan kekuatan kefahaman dan pengetahuan namun ia tetap lemah kecuali dengan panduan daripada Allah s.w.t.

Di dalam menghiasi anugerah Allah ini, ketinggian ilmulah merupakan sebaik-baik perhiasannya . Jika setiap sesuatu perkara mempunyai kunci, maka kunci bagi akal adalah ilmu. Tanpa ilmu manusia tidak mampu mengenal dan mengetahui tujuan sebenar ia diciptakan. Tanpa ilmu juga manusia tidak dapat mengenal siapakah Pencipta mereka. Maka manusia memerlukan ilmu untuk mengenal Allah dan untuk beribadat kepadaNya.

Banyak ayat-ayat Al-Quran yang mengaitkan orang-orang yang mempunyai ilmu dengan mereka yang mendapat petunjuk. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran, ayat 7:

Ertinya: Dan tidaklah mengingati Allah kecuali mereka yang mempunyai akal.

Begitu juga banyak hadith-hadith Rasulullah mengenai keutamaan ilmu dan ulama, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

"Keutamaan orang alim keatas seorang abid seperti keutamaanku ke atas orang-orang yang dekat diantara kamu".

Ini adalah kerana ilmu itu jika disaingkan dengan keimanan, akan membawa seseorang kepada tahap ketaqwaan dan keimanaan yang lebih tinggi lagi. Renungkanlah firman Allah s.w.t yang berbunyi:

Yang bermaksud: "Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.". (Surah Faathir ayat 28.)

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa ulama lah yang paling tunduk dan taat kepada Allah. Mereka dapat melihat dan memahami kebesaran Allah s.w.t melalui ilmu mereka. Dengan pemahaman dan penghayatan terhadap kebesaran Allah s.w.t itulah akan membuatkan mereka lebih takut kepada Allah dan secara langsung meningkatkan ketaqwaan mereka.

Di dalam Islam, tidak ada ibadah yang lebih baik dari menuntut ilmu. Kerana ibadah dengan ilmu adalah lebih baik dari ibadah tanpa ilmu. Mereka yang menuntut ilmu dianggap berjuang dalam jalan Allah. Mereka yang menuntut ilmu dihormati oleh sekelian makhluk. Rasulullah s.a.w pernah bersabda di dalam sebuah hadith yang berbunyi :

Ertinya: Kelebihan orang mukmin yang alim atas mukmin yang rajin beribadah adalah tujuh puluh kali ganda.

Keutamaan ulama bukan hanya setakat ketika mereka hidup di dunia ini, malah setelah mereka pergi meninggalkan dunia ini jasa mereka tetap dikenang. Jika kita lihat peristiwa pengebumian para shuhada Uhud, apabila mereka dikebumikan secara berdua-dua, Rasulullah mengutamakan orang yang paling berilmu di antara mereka . Rasulullah s.a.w. bertanya kepada para sahabat : "Siapakah orang yang lebih mengetahui kitab Allah? Sahabat menjawab : "Ini ya Rasulullah". Maka mayat tersebut didahulukan daripada yang lain, kemudian diletakkan ke dalam liang lahad.

Begitu juga, selepas berlalunya abad lebih dari seribu tahun , manusia masih lagi menyebut tentang ulama-ulama besar yang telah pun menghabiskan masa mereka mengarang ratusan buku di dalam kehidupan mereka . Walaupun mereka sudah lama meninggalkan dunia ini, namun begitu nama-nama mereka tetap terpahat sehingga hari ini kerana ilmu yang mereka tinggalkan. Ulama lah yang membangkitkan tamadun ilmu Islam.

Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Mujaadilah ayat 11 yang berbunyi :

Yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman apabila dikatakan kepadamu: Berlapang-lapanglah dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan (tempat) untukmu. Dan apabila dikatakan: Berdirilah kamu, maka berdirilah nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi Ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Sekian, Wassalam..

Ulasan

Popular Post

Kata Kata hikmah

KWSP vs PENCEN

Payudara

Skim rumah pertama

Banjir di kemaman