Pekerjaan berkaitan Arak & Riba


Terdapat dua jenis pekerjaan yang kadang-kadang umat Islam alpa/lupa mengenai pengharamannya. Yang pertama, ialah semua jenis pekerjaan yang ada kaitan dengan arak. Yang kedua, ialah semua jenis pekerjaan yang berkaitan dengan riba’.

1. Pekerjaan yang berkaitan dengan arak.

Pengharaman ini telah diperincikan menerusi hadith nabi yang bermaksud:

“Rasulullah s.a.w. melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak:
1. Yang memerahnya
2. yang minta diperahkan untuknya
3. yang meminumnya
4. yang membawanya
5. yang minta dihantarinya
6. yang menuangkannya
7. yang menjualnya
8. yang makan harganya
9. yang membelinya
10. yang minta dibelikannya.”
(Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

Dalam riwayat yang lebih kuat, Rasulullah bersabda:

Hadith Nabi SAW : “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan arak, maka barangsiapa yang telah mengetahui ayat ini dan dia masih mempunyai arak walaupun sedikit, jangan minum dan jangan menjualnya.” (Riwayat Muslim)

Justeru, adalah jelas hukum beberapa jenis pekerjaan yang berkaitan dengan arak. Ini termasuklah:

1. Pemandu lori kedai arak.
2. Pemilik kedai yang menjual arak.
3. Juruwang (cashier/till machine operator) yang menguruskan pembelian arak.
4. Pekerja buruh di kilang arak dan yang mengangkut arak.
5. Pelayan kafe, restoran dan pramugari/a yang menghidangkan arak.
6. Kerani dan pegawai di syarikat yang berurusan secara terus dengan arak.
7. Syer/kongsi saham/makan persen/pengeluar lesen/pihak berkuasa yang meluluskan
8. Dan lain-lain.

2. Pekerjaan yang berkaitan dengan riba.

Secara mudahnya, amalan riba boleh dilihat secara langsung dan tidak langsung pada masa kini melalui urusan pinjaman konvensional dari bank-bank. Walaupun telah wujud bank Islam mahupun bank-bank konvensional yang menyediakan perkhidmatan perbankan Islam, wujud di kalangan kita yang masih tidak cuba/mahu menggunakan sistem perbankan Islam.

Mungkin berpendapat sistem perbankan islam lebih mahal serta melibatkan berbagai proses dan lain-lain alasan lagi. Hakikatnya, pada masa kini sistem perbankan islam telah berkembang pesat dan mula mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dan sudah mampu menandingi sistem perbankan konvesional. Keruntuhan sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba sepertimana berlaku di eropah iaitu grece dan lain-lain lagi negara menunjukkan sistem kovensional ini sangat rapuh, menindas,lemah dan penuh dengan tipu daya spekulatif.

Dosa Riba

Di Akhirat: Berkatalah Ibnu Abbas r.a.: “Tidak diterima dari pemakan riba sedekahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya.” (Al-Jami’ li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362 ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224)

Pengamal Riba Umpama Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri
Rasulullah SAW bersabda: “Riba mempunyai 73 pintu. Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.” (HR Ibnu Majah, 2/764; Al-Hakim: Sahih menurut syarat Bukhari dan Muslim)

Lebih Berat dari 36 Kali Zina
Rasulullah SAW bersabda: “Satu dirham Riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali.” (Musnad Ahmad , 2/225; Ad-Dar Qutni, hlm 295; Albani mengatakan sahih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadis Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103)

Riba Adalah Salah Satu Dari Dosa Terbesar
Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Jauhilah tujuh dosa besar: Syirik, Sihir, Membunuh tanpa hak, Makan harta anak yatim, Makan riba, Lari dari medan peperangan (kerana takut) dan Menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil).“ ( HR Bukhari dan Muslim)
Selain beberapa ayat al-Quran, hadith nabi juga turut menyentuh mengenai pengharaman riba, serta mereka-mereka yang membantu transaksi riba. Sebagai contoh, hadith nabi yang bermaksud:

“Dilaknati Rasulullah SAW pemakan (penerima) riba, dan pemberi makan (pemberi riba), saksinya dan penulisnya.” ( Riwayat Abu Daud, no 3333, At-Tirmidzi & Albani: Hasan Sohih )

Hadith ini jelas mengharamkan umat Islam daripada bekerja di beberapa sektor yang berkaitan langsung dengan riba. Antara contoh pekerjaan yang boleh difahami berdasarkan hadith di atas ialah:

1. Penerima dan memanfaatkan riba’ – ini termasuk orang yang menggunakan manfaat keuntungan riba seperti sektor pelaburan berasaskan riba’, perniagaan kredit/hutang berasaskan riba’, dan pelabur deposit tetap ribawi yang bergantung kepada keuntungan pelaburannya.

2. Pembayar riba’ – pengguna perkhidmatan bank konvensional berasaskan riba’, termasuklah pembeli rumah dan kereta menerusi kaunter pinjaman riba’, pelabur yang melaburkan wang mereka di dalam pelaburan riba’ dan pengguna/pembayar kad kredit yang terlibat dengan transaksi riba terutamanya ketika pembayaran lewat tempoh.

3. Saksi riba – termasuklah penjamin dan saksi kepada kontrak berasaskan riba meliputi pinjaman kereta, pelajaran, rumah dan lain-lain.

4. Penulis riba – termasuklah kerani kaunter di bank konvensional berasaskan riba’, peguam yang menguruskan dokumen urusniaga rumah seperti kontrak jual beli dan lain-lain, pegawai pemasaran produk berasaskan riba serta pihak berkuasa yang meluluskan urusniaga riba’.

Apa tindakan anda sekiranya anda terlibat dalam salah satu pekerjaan di atas?

1. Bertaubat.
2. Berhenti daripada melakukan pekerjaan tersebut, walaupun ianya dilihat mengurangkan keuntungan atau mengundang kerugian kepada diri/syarikat anda.

Apakah lagi yang wajar anda lakukan?

1. Sebar nota ringkas ini kepada yang lain.
2. Tegur sahabat-sahabat anda yang terlibat dengan pekerjaan-pekerjaan di atas dengan berhikmah.[tanpa prasangka]
3. Jaga anak-anak dan keturunan anda daripada terlibat dalam pekerjaan di atas. Penekanan perlu diberikan kepada mereka yang bekerja buruh, part-time worker, peguam, peniaga, peminjam (kereta, rumah dan pelajaran) dan pelabur.

Kesan kalau anda teruskan pekerjaan anda:
1. Mendapat dosa.
2. Mendapat balasan daripada Allah.
3. Ada juga yang mendapat petanda balasan di dunia lagi, seperti keuntungan yang anda perolehi terputus barakah (tidak berkat). Contoh gejala tidak berkat ialah:
a. walaupun gaji/untung besar, tapi masih rasa tidak cukup.
b. keluarga tidak bahagia.
c. rumah/kereta/pelajaran yang dibeli menerusi riba’ bermasalah.
d. hilang ketenangan hidup.
e. dan lain-lain.

Hayatilah firman Allah SWT, peringatan Perang Allah swt ke atas mereka yang terlibat dalam industri riba

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kalian orang-orang yang beriman. Jika kalian tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kalian. Dan jika kalian bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagi kalian pokok harta kalian; kalian tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” (Al-Baqarah: 278-279)

Terpulanglah kepada kita untuk membuat keputusan yang terbaik, biarlah rezeki yang kita dapat itu sedikit, tetapi penuh dengan keredaan dan rahmat Allah s.w.t. Memanglah sistem perbankan Islam yang ada kini tidaklah boleh dikatakan 100% 'islamic', tetapi sepertimana kita faham akan kaedah fiqh yang menyatakan secara konsepnya, 'hendaklah dipilih 'mudarat' yang lebih kecil antara dua mudarat yang wujud'.

Adakah kita berada dalam keadaan 'darurat' sepertimana di sisi syariah islam untuk kita bergelumang dengan selimut 'riba' ini? Adakah jika tidak terlibat dengan riba ini kita akan mati kebuluran, sakit atau mati? Cukuplah kesederhanaan jika itu sumber untuk kita mendapat kerahmatan Allah s.w.t.

Ulasan

Popular Post

Kata Kata hikmah

KWSP vs PENCEN

Payudara

Skim rumah pertama

Banjir di kemaman