Mustajar

MUSTAJAR @ MULTAZAM TUA

Nabi Ibrahim عليه السلام sewaktu meninggikan binaan Ka'abah Baitullah telah menjadikan bagi binaan yang suci ini dengan dua pintu. Satu pintu masuk yang menghadap ke arah timur dan satu lagi pintu keluar yang menghadap ke barat. Tatkala kaum Quraisy membina semula Ka'abah yang rosak akibat banjir, maka mereka telah menutup pintu Ka'abah yang menghadap ke arah barat dan menjadikan satu sahaja pintu baginya. Tatkala Sayyidina `Abdullah bin az-Zubair رضي الله عنهما memerintah Mekah, beliau telah membina semula Ka'abah dengan mengembalikannya kepada binaan asal yang dibina oleh Nabi Ibrahim عليه السلام kerana mengikut hasrat yang pernah diutarakan oleh Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Imam al-Bukhari رحمه الله meriwayatkan daripada Sayyidatina `Aisyah رضي الله عنها bahawa Junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:
"Wahai `Aisyah, Kalaulah bukan kerana kaummu (yakni kaum Quraisy) masih baru meninggalkan suasana jahiliyyah nescaya aku akan mengarahkan supaya diruntuhkan Ka`abah dan dibinakan semula dengan memasukkan bahagian yang telah dikeluarkan oleh Quraisy dan merendahkan binaan (pintunya) di atas tanah, membuat baginya dua pintu - satu di bahagian timur dan satu lagi di bahagian barat, binaannya menurut asas yang dibina oleh Nabi Ibrahim عليه السلام."

Maka Sayyidina `Abdullah رضي الله عنهما telah membuka semula pintu Ka'abah yang menghadap ke barat dan memasukkan semula Hijir Ismail ke dalam binaan Ka'abah.  Namun setelah Mekah ditawan semula oleh tentera Bani Umayyah yang dipimpin oleh Hajjaj bin Yusuf ats-Tsaqafi, mereka telah mengembalikan Ka`abah seperti binaan sebelumnya oleh kaum Quraisy.

Mengenai pintu Ka`abah, maka telah sedia kita maklumi dan kita tahu bahawa kawasan yang berada antara pintu Ka'abah dengan rukun Hajar al-Aswad dikenali sebagai "al-Multazam" yang kemuliaan dan kelebihannya yang telah tersebar dalam pengetahuan manusia. Namun ramai yang tidak tahu mengenai pintu kedua yang telah ditutup tersebut.

Para ulama dan sejarawan Mekah menyatakan bahawa kedudukan pintu tersebut adalah kira - kira 4 hasta dari rukun Yamani ke rukun Syami. Kedudukan pintu tersebut kira-kira berada berbetulan di belakang pintu Ka`abah sekarang. Jika kawasan antara pintu Ka`abah dengan rukun Hajar al-Aswad tadi digelar "al-Multazam", maka kawasan 4 hasta tersebut dipanggil sebagai "al-Mustajar" atau "al-Mustajar minadz Dzunub". Ianya juga dikenali sebagai "Multazam 'ajaa-iz Quraisy" dan sebahagian tuan - tuan guru kita memanggilnya sebagai "Multazam tua" atau  "Multazam orang - orang tua atau orang - orang dhaif kaum Quraisy".

Sebagaimana al-Multazam yang dikenali sebagai tempat yang mustajab berdoa, maka kawasan al-Mustajar juga terkenal sebagai tempat yang mustajab untuk berdoa. Sayyidina Mu`awwiyah bin Abu Sufyan رضي الله عنهما diriwayatkan sebagai berkata:
"Sesiapa yang berdiri di belakang Baitullah (yakni di belakang pintu Baitullah iaitu di al-Mustajar) lalu berdoa, pasti akan dikabulkan dan akan bersih daripada segala dosanya seperti saat ketika dia dilahirkan oleh ibunya."

Para ulama yang mengomentarkan atsar ini menyatakan bahawa perkara sedemikian tidaklah diketahui oleh Sayyidina Mu`awwiyah melainkan daripada Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Ramai para sahabat dan tabi`in yang telah menjadikan kawasan ini sebagai tempat untuk berdoa, antaranya Sayyidina `Abdullah bin az-Zubair, Sayyidina Mus`ab, Sayyidina Ibnu `Umar, Khalifah `Umar bin `Abdul `Aziz dan Sayyidina al-Qasim bin Muhammad bin Khalifah Abu Bakar ash-Shiddiq رضي الله عنهم. Imam asy-Sya'bi رحمه الله menyatakan bahawa beliau telah melihat Sayyidina `Abdullah bin az-Zubair, saudaranya Mus`ab, Abdul Malik bin Marwan dan Sayyidina `Abdullah bin `Umar رضي الله عنهم berdoa di situ dan semua mereka telah mendapat apa yang mereka minta. ~ abu muhammad as sarawaqi.

Ulasan

Popular Post

Kata Kata hikmah

KWSP vs PENCEN

Payudara

Skim rumah pertama

Banjir di kemaman