Makanan manis

SEKIRANYA SAYA TIDAK MINUM AIR MANIS SETIAP HARI, SAYA TIDAK ADA GULA DALAM BADAN

Mengikut pandangan penghidap diabetes yang memerlukan air manis setiap hari adalah tidak benar. Karbohidrat kompleks seperti buah-buahan, makanan bijirin seperti nasi, mee dan roti juga membekalkan tenaga atau kalori. Pengambilan gula yang tinggi boleh menyebabkan peningkatan glukosa dalam darah yang tidak terkawal dan menyebabkan pertambahan berat badan.

Makanan berkarbohidrat membekalkan gula dan boleh digunakan oleh badan untuk menghasilkan tenaga, disimpan di dalam hati dan otot sebagai glikogen atau ditukarkan kepada lemak sekiranya tidak digunakan. Sel badan dan sistem saraf bergantung kepada glukosa.

Tanpa gula, badan akan memaksa tisu protein untuk dipecahkan kepada glukosa dan memetabolismakan tenaga untuk menghasilkan keton daripada lemak. Dengan kehadiran insulin (hormon pankreas) berfungsi untuk mengangkut gula dalam darah ke sel-sel badan. Sekiranya insulin dalam badan berkurangan atau tiada terutama kepada penghidap diabetes, gula dalam darah akan meningkat.

Gula ringkas mengandungi kalori tetapi kurang mengandungi vitamin, mineral dan fiber/ serat. Karbohidrat ringkas boleh terdapat dalam makanan seperti :
Gula pasir
Gula-gula
Minuman berkarbonat seperti soda
Minuman sirap atau kordial

Keperluan karbohidrat adalah antara 40 hingga 60 peratus daripada saranan kalori sehari. Karbohidrat kompleks adalah makanan yang hadir dalam makanan mengandungi serat, vitamin dan mineral dan membekalkan tenaga yang utama.

Untuk meningkatkan pengambilan karbohidrat kompleks dan mendapat zat yang sihat , amalkan perkara seperti :
Makan lebih sayur-sayuran dan buah-buahan
Makan lebih nasi bijirin penuh, roti dan bijirin
Makan lebih legum. (Contoh: kacang tanah, kacang pea, lentil)

Saranan pengambilan makanan tinggi karbohidrat mengikut saiz hidangan :
Sayur-sayuran :
1 cawan sayur-sayuran mentah, atau
½ cawan sayur-sayuran yang dimasak

Buah-buahan :
1 biji sederhana buah-buahan berbiji (contoh: epal, oren, lai),
1 potong buah-buahan (contoh : betik, tembikai, nenas)

Roti dan bijirin :
1 potong roti, atau
½ cawan nasi/ pasta/mee, atau
½ cawan kekacang

Produk tenusu :
1 cawan susu skim atau
susu rendah lemak
{Link: Karbohidrat Kompleks}

Penghadaman dan penyerapan karbohidrat
Gula dan makanan berkarbohidrat akan dihadam kepada molekul yang kecil iaitu glukosa dan diserap ke dalam badan untuk digunakan.

Di dalam mulut : Makanan berkarbohidrat akan dipecahkan kepada polisakarida dan maltosa dengan bantuan enzim amilase. Kenyataannya, jika anda makan makanan berkanji seperti biskut, anda akan dapat merasa manis dengan bantuan enzim amilase kerana makanan berada di dalam mulut hanya sementara. Penghadaman karbohidrat adalah berlaku hanya sementara di dalam mulut dan terus masuk ke dalam salur penghadaman.

Di perut : Makanan yang ditelan akan menjadi bolus bercampur dengan asid di dalam perut dan enzim penghadaman protein. Enzim akan memecahkan makanan berkanji. Manakala, makanan yang mengandungi serat akan melambatkan pengosongan makanan di perut. Ini menyebabkan perut akan merasa penuh dan kenyang berpanjangan.

Di usus kecil: Makanan berkarbohidrat paling banyak diserap di sini. Enzim penghadam karbohidrat iaitu amilase pankreatik memasuki usus kecil melalui salur pankreas. Karbohidrat dalam bentuk polisakarida akan dipecahkan kepada molekul yang lebih kecil seperti di bawah :

Maltosa : Glukosa + Glukosa
Sukrosa : Glukosa + Fruktosa
Laktosa : Glukosa + Galaktosa

Di peringkat ini semua makanan yang berkarbohidrat telah dipecahkan kepada molekul yang lebih kecil. Kebanyakan adalah dalam bentuk glukosa.

Di usus besar : Dalam masa 1 serat hingga 4 jam selepas makan, semua gula dan makanan yang berkanji telah dihadamkan, kecuali serat akan tinggal di salur penghadaman. Serat akan menarik air, seterusnya akan melembutkan najis di usus besar. Di sini juga, terdapat bakteria yang menfermentasi serat menghasilkan air, gas dan lemak berantai pendek. Usus menggunakan molekul lemak ini untuk tenaga. Oleh itu, serat juga boleh menyumbangkan tenaga bergantung kepada berapa banyak yang dipecahkan oleh bakteria dan asid lemak yang diserap.

Glukosa boleh dihadam di dalam mulut dan yang paling penting akan diserap di usus kecil. Glukosa dan galaktosa akan diangkut melalui usus kecil ke sel-sel badan. Manakala, fruktosa akan diserap secara ‘facilitated diffusion’, di mana akan melambatkan kenaikan gula dalam darah. Karbohidrat yang tidak berantai (monosakarida) akan dihadam dengan perlahan dan akan meningkatkan gula dalam darah dengan sedikit. Darah akan mengalir dari usus ke hati, sel-sel di sini akan mengambil fruktosa dan galaktosa dan akan ditukarkan kepada glukosa. Seterusnya meningkatkan glukosa dalam darah.

Kesimpulan
Oleh itu, pengambilan makanan berkarbohidrat boleh menyumbangkan kepada penghasilan gula dalam badan dan berfungsi untuk menghasilkan tenaga dalam tubuh badan. Oleh itu, penghidap diabetes tidak perlu mengambil gula setiap hari kerana gula sentiasa ada dalam badan iaitu daripada pengambilan makanan berkarbohidrat.

Ulasan

Popular Post

Kata Kata hikmah

KWSP vs PENCEN

Payudara

Skim rumah pertama

Banjir di kemaman