KWSP vs PENCEN

👉KWSP atau PENCEN?

Bagi penjawat awam, pasti anda melalui dilemma memilih skim persaraan di antara skim pencen dan tabungan KWSP. Disini saya ingin memberi sudut pandang saya kerana soalan ini sering diajukan kepada saya, dan kebanyakan mereka masih ragu ragu yang mana lebih baik.

Hakikat yang perlu kita terima ialah, merancang persaraan adalah perkara yang sangat penting dalam perancangan kewangan. Ketika umur sudah lanjut dan tidak mempunyai kudrat, kita masih memerlukan wang untuk menempuh kehidupan di usia tua. Apatah lagi jika badan sudah tidak kuat dan mempunyai pelbagai penyakit.

👉Skim Pencen

Manfaat daripada skim pencen ini terbahagi kepada tiga iaitu:
1) Wang gratuity – dibayar sekaligus selepas bersara
2) Pencen bulanan – bayaran bulanan sehingga kematian atau jika mati awal, diberikan kepada isteri atau sehingga anak bongsu berumur 21 tahun.
3) Faedah perkhidmatan kesihatan dan lain lain.

👉Skim KWSP

Caruman KWSP berdasarkan dua pihak iaitu caruman daripada majikan sebanyak 12-18%, dan caruman sendiri yang ditolak daripada gaji sebanyak 11%.

👉Pembandingan kualitatif

1) KWSP adalah simpanan persaraan yang lebih anjal kerana pencarum boleh mengeluarkan simpanan itu untuk pelbagai kegunaan seperti

a. 10% daripada akaun 1 setelah ditolak kepada baki minima mengikut umur untuk dilaburkan ke tempat yang memberi pulangan yang lebih menarik

b. Akaun 2 boleh dikeluarkan untuk bayaran deposit rumah yang dibeli dengan bukan pinjaman kerajaan, pendidikan, bayaran tanggungan bulanan rumah dan sebagainya.

c. Akaun 2 juga boleh dikeluarkan semuanya ketika berusia 50 tahun.

d. Jika akaun KWSP sudah melebihi RM 1 juta, Lebihan itu boleh dikeluarkan.

2) Walaupun ia anjal, hakikatnya anda telah menggunakan dana persaraan anda untuk kegunaan lain. Timbul satu soalan lain, cukupkan wang persaraan nanti?

3) KWSP akan menolak 11% daripada pendapatan anda.

4) Namun majikan anda mencarum untuk anda juga sebanyak 12%.

5) Anda juga perlu menabung untuk perkhidmatan kesihatan selepas bersara

6) Skim pencen pula tidak menolak apa apa dari gaji anda.

7) Skim pencen menjamin wang persaraan secara bulanan.

Anda tidak ada risiko tiada wang persaraan dan risiko terbazir wang KWSP untuk perkara lain.

8) Isu syariah. KWSP masih tidak sepenuhnya patuh syariah. Begitu juga dengan KWAP.

Kesimpulan dari pembandingan ini, benar bahawa jika anda bercadang untuk berhenti awal dari perkhidmatan kerajaan,adalah lebih baik mengambil skim KWSP ia lebih anjal. Ini juga kerana majikan mencarum banyak terhadap anda dan anda boleh gunakan duit itu untuk kegunaan lain.

Namun begitu, ia tidak bermakna skim pencen tidak bagus kerana ia bergantung kepada individu. Biarpun manfaat pencen mungkin kecil jika berhenti awal, namun kelebihan gaji penuh jika dimanfaatkan sebaiknya dari segi pelaburan mungkin juga lebih baik dari KWSP.

Untuk mengetahui perbezaan pencen dan KWSP jika berhenti awal sangat kompleks kerana parameter terlalu banyak. Contohnya tahun berapa mahu berhenti, dan tidak sama untuk setiap individu.

Jadi kita focus kepada yang akan bekerja sehingga bersara wajib.
Jika anda berhasrat untuk kekal berkhidmat sehingga bersara, mungkin pembandingan kuantitatif di bawah dapat membantu anda membuat keputusan antara skim pencen dan caruman KWSP.

👉Pembandingan Kuantitatif

Untuk membandingkan secara kira kira, kita akan menggunakan satu kes studi. Dan kes studi ini akan menggunakan beberapa assumptions.

Assumptions:
• Umur mula bekerja : 25 tahun
• Umur persaraan : 55 tahun
• Gaji Mula: RM 2,500
• Gaji ketika bersara : RM 10,000 ( Ini berdasarkan assumption kenaikan dari gred 41 hingga 48)
• Kenaikan gaji setahun : 5% (berdasarkan PV = 2500, FV=10,000, n = 30)

-Adapun agak sukar mendapat gaji tepat ketika bersara kerana mengikut tangga gaji dikira kenaikan 3% untuk setiap tangga gaji. Adapun setiap penjawat awam berbeza prestasi kenaikan pangkat mereka. Jadi assumption seperti di atas adalah untuk penjawat awam berijazah dan bersara pada gred 48, di mana purata gaji tertinggi gred 48 adalah sekitar 10,000.

• Caruman dari gaji : 11%
• Caruman daripada majikan : 12%
• Tiada pengeluaran yang berlaku sepanjang tempoh caruman KWSP
• Dividen KWSP : 6%

Berapa yang akan terkumpul ketika mahu bersara? Disebabkan kenaikan gaji sebanyak 5% serta 6% dividen daripada KWSP compounded setiap tahun, kita perlu mengira dengan teliti untuk mendapat nilai yang tepat.

Jumlah caruman KWSP setiap bulan adalah = 11 + 12 = 23% daripada gaji.
Kita gunakan kalkulator di laman web KWSP dan kita dapat hasil sebegini:- rujuk gambar 1.

Bermakna pada umur 55 tahun, pencarum berkenaan mendapat jumlah total RM 1, 158,700 sebagai dana persaraan.

👉Pengiraan skim Pencen

Untuk skim pencen, mari kita mengira berapa yang akan dinikmati.

1) Jumlah gratuiti adalah berdasarkan formula
= 7.5% x tempoh berkhidmat x gaji terakhir
Berdasarkan data kita diatas
=7.5% x 30 x 12 x 10,000
= RM 270,000.

2) Pencen bulanan adalah berdasarkan formula

= 1/600 x tempoh berkhidmat x gaji terakhir

Berdasarkan data kita di atas
= 1/600 x 30 x 12 x 10,000
= 6,000

Untuk skim pencen, dapat tunai RM 270,000 dan RM 6,000 setiap bulan.
Bandingkan dengan KWSP yang dapat RM 1,158,700.
Mana yang lebih baik? Secara kasarnya, kita lihat jumlah tunai KWSP lebih banyak.
Namun untuk pertimbangan yang adil, mari kita lihat nilai pencen RM 6,000 setiap bulan itu.

1. Pertama kita tolakkan jumlah tunai KWSP dengan tunai gratuity iaitu RM 270,000. Ini barulah dikira perbandingan yang adil.
= 1,158,700 – 270, 000
= 888, 700

Kemudian kita letakkan baki RM 888, 700 itu di pelaburan yang memberikan pulangan 6%.
= 6% x 888,700
= 53, 322 pulangan setahun; bersamaan 4443.5 sebulan.

Jadi, skim pencen memberikan pulangan bulanan lebih banyak daripada KWSP.

2. Cara kedua pula, bagaimana jika semua wang KWSP dilaburkan untuk duit saraan bulanan?
= 6% x 1,158,700
= 69,522 pulangan setahun, bersamaan 5,793 sebulan.
Tidakpun sampai RM 6,000 sebulan.

3. Adapun wang gratuiti itupun boleh dilaburkan juga untuk menambahkan pencen bulanan;
= 6 % x 270,000
= 16,200 setahun bersamaan 1350 sebulan.
Total pencen = RM 6,000 + Rm 1350 = RM7350. Jauh lebih banyak dari RM 5,793.

Jangan kita lupa, wang KWSP itu masih kekal “capital protected’’ di dalam pelaburan kerana modal asal masih ada. Ia boleh diguna sebagai pusaka atau tabung kecemasan. Itulah kelebihan pelaburan tunai. Namun pusaka tidaklah dapat kepada tuan empunya badan.

Jikapun kita mahu membanding jika penerima KWSP menggunakan nilai RM6,000 setiap bulan sama seperti skim pencen, berapa tahun pula boleh guna duit itu sehingga habis?

= 888,700 / 6,000
= 148 bulan bersamaan 12 tahun.

12 tahun selepas pencen 55 tahun masih berumur 67 tahun. Life expentancy Malaysia secara purata adalah 74 tahun.
Dinasihatkan wang gratuity dalam skim pencen tetap dilaburkan sebagai simpanan kecemasan bukan untuk enjoy. Gaji sebelum bersara sudah RM10,000 tidak termasuk elaun, sudah cukup banyak untuk enjoy. Duit hari tua adalah untuk hari tua.

👉Bagaimana orang memilih skim pencen boleh tambahkan RM500,000 ketika bersara?

Satu lagi perkara yang belum kita bandingkan adalah wang caruman KWSP yang ditolak daripada gaji, yang mana ia adalah kelebihan tunai kepada peserta skim pencen.
=11% x RM 2500
=RM 275

Apa yang kita boleh dapat dengan RM 275 sebulan atau 11% sebulan daripada gaji?
Perlindungan takaful sehingga RM500,000,atau pelaburan yang boleh menjana RM 500,000!

Sila lihat contoh di bawah.rujuk gambar 2 dan 3.

Jika anda memilih skim pencen dan menyimpan 11% dari gaji sebagaimana orang yang mencarum KWSP, anda mendapat tunai RM 497, 258 + RM 270,000 = RM 767,258 beserta RM 6,000 sebulan!

Oh ya, ini baru jika ia diletakkan di tempat memberikan 6%, bukan lagi dalam portfolio lain seperti unit amanah dan saham yang boleh memberikan pulangan yang lebih tinggi.

Ok, bagaimana jika anda benar benar mengoptimakan gaji anda untuk menambah asset dari usia muda dan mempunyai portfolio hartanah berderet deret, pelaburan dalam saham amanah yang lebih agresif dan pulangan yang lebih tinggi, portfolio saham yang meningkat saban tahun selama 30 tahun?

Jadi kaya memang tidak sukar, asal mahu bijak dan bersabar. Bukan jadi juara personal loan dan hutang jahat.

Disini saya katakan, bahawa jika anda mahu berkhidmat sehingga akhir tempoh bersara dan bukan berhenti awal, skim pencen adalah pilihan yang lebih baik.

Jadi bagaimana, mana pilihan anda, pencen atau KWSP?

p/s: kiraan adalah berdasarkan kes studi. Mungkin berbeza dengan kes kes lain. Jika ada pertambahan maklumat dan pembetulan, sila komen di bawah atau pm saya. Jangan kecam saya jika saya ada berbuat kesilapan. Saya bukan menunjuk pandai dan tidakpun mahu berlawan dengan sesiapa. Alam Allah dan ilmuNya luas, kita hanyalah manusia kerdil yang bisa mati dengan makhluk sekecil virus.

Kalau bermanfaat sila like, share dan komen, please. Letih tulis ni.

Ulasan

Terima kasih atas perkongsian sangat membantu saya. saya mmg sedang mempunyai delima memilih. terima kasih penulis

Popular Post

Kata Kata hikmah

Payudara

Skim rumah pertama

Banjir di kemaman