Selamat Hari Raya Aidiladha 2011



Firman Allah :
لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)

Hari Raya Aidiladha atau ’Eid Ul-Adha atau dalam bahasa kita hari ini adalah Hari Raya Haji. Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya. Hari Raya Aidiladha adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Hari Raya Aidiladha 2011 di sambut pada hari Ahad, 6.11.2011.

Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan TakbirAidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t. Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Hari Raya Korban jatuh pada hari ke 10 pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalendar Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.

Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Manakala hikmah dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. Pada Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan berpuasa sebelum Solat hari raya.

Semoga ibadat korban yang menyerikan lagi suasana keceriaan Aidiladha yang menyaksikan satu kesedaran atau keinsafan yang cukup tinggi di kalangan umat Islam untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan ummah sejagat.

Mudah-mudahan ibadat korban yang dilakukan sepanjang Hari Aidiladha diterima Allah. Amin.

Ulasan

Popular Post

Kata Kata hikmah

KWSP vs PENCEN

Payudara

Skim rumah pertama

Banjir di kemaman