Usaha gerak semula tarian kuda kepang


JEMPOL7 Mac. - Tarian kuda kepang adalah seni budaya yang pernah berkembang pesat dan terkenal di Johor, namun ia kini hampir tenggelam berikutan peredaran masa.

Menyedari hakikat itu, seorang aktivis tempatan, Ramlee Zaiton,57, dari Felda Lui Barat dekat sini berusaha menggerakkan semula tarian kuda kepang dengan menubuhkan kumpulan yang dikenali sebagai Seri Kelembak.

"Kumpulan ini ditubuhkan pada 2006 dan kini dianggotai oleh 25 orang ahli terdiri daripada anak peneroka dan golongan belia di sekitar kawasan ini.

"Saya berhasrat memperkenalkan dan memastikan seni budaya ini diketahui dan dihayati oleh orang ramai khususnya di kalangan generasi muda hari ini.

"Menerusi persatuan ini peserta bukan sahaja dapat mempelajari tarian kuda kepang malah dapat mengelakkan belia daripada terlibat dengan gejala sosial yang tidak berfaedah," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, dia tidak menyangka sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila ramai menyatakan minat untuk mempelajari tarian kuda kepang.

Tambahnya, latihan diadakan setiap malam Sabtu bagi mendedahkan anggota kumpulan dengan ilmu tarian kuda kepang.

Sementara itu Mohd. Alif Yahya, 24, berjaya menguasai ilmu tarian kuda kepang setelah mempelajarinya selama hampir setahun.

Walaupun berasal dari Johor katanya, dia tidak mengetahui mengenai tarian kuda kepang dan minat yang mendalam mengenainya timbul selepas mempelajarinya.

"Saya mengikuti latihan ini hanya kerana ingin mengisi masa lapang. Ternyata tarian kuda kepang tidak mudah.

''Ia memerlukan kesabaran dan apa yang penting minat untuk belajar. Setiap pemain perlu belajar teknik menari dan bermain muzik," katanya.

Halim Mahat, 11, berkata, minat yang mendalam untuk mempelajari tarian kuda kepang membuatkan dia sanggup 'mencuri masa' untuk mengikuti latihan.

"Sebagai pelajar saya mempunyai pelbagai tanggung jawab yang harus dilaksanakan. Saya sentiasa membahagikan masa dengan bijak agar pelajaran tidak terabai.

"Walaupun terpaksa mengikuti latihan kuda kepang pada waktu malam, namun saya tidak pernah ponteng sekolah," katanya.

Menurutnya, masa lapangnya kini lebih tersusun apabila dia mengikuti kelas tarian kuda kepang.

"Saya tidak lagi membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Keluarga juga menyokong minat saya dan pastinya saya mahu menjadi penari kuda kepang yang disegani," tambahnya.

Ulasan

Popular Post

Kata Kata hikmah

KWSP vs PENCEN

Payudara

Skim rumah pertama

Banjir di kemaman