KUDA KEPANG


JEMPOL 7 Mac. - Kuda kepang adalah sejenis tarian pahlawan berkuda yang berasal dari Jawa, Indonesia.

Tarian tersebut adalah permainan rakyat di Indonesia dan Malaysia khususnya di Johor dan ia kebiasaannya dipersembahkan pada majlis perkahwinan dan keramaian.

Peralatan permainan kuda kepang terdiri daripada angklung, gendang, gong, kuda, sebatang pecut dan tali sepanjang 30 meter.

Angklung berbentuk empat segi diperbuat daripada buluh serta rotan dan dimainkan dengan cara menggoyangkan buluh tersebut.

Gabungan bunyi nyaring buluh kecil serta bunyi bergema daripada buluh besar menghasilkan irama indah dan menarik.

Gendang yang diperbuat daripada kayu leban dan kulit lembu pula akan dipalu mengikut irama tertentu membantu menyedapkan lagi bunyi muzik pengiring.

Pecut diperbuat daripada buluh dan tali dipintal menjadi satu berfungsi mengarah dan mengawal permainan penari-penari kuda kepang.

Selain itu, perkakas yang penting ialah kuda yang diperbuat daripada kulit lembu dan diwarnakan merah, putih serta kelabu.

Tali digunakan untuk membuat pagar bagi mengawal penari-penari yang 'mabuk' daripada berkeliaran serta memudahkan ketua mengawal tarian.

Kuda kepang biasanya dipersembahkan di tempat terbuka atau di atas pentas yang besar dan sebelum tarian bermula ketua akan membakar kemenyan dan membaca jampi untuk memberikan tenaga kepada kuda-kuda.

Biasanya mereka turut menggunakan telur mentah, bunga, rumput dan air untuk persembahan.

Ketika persembahan dilakukan, seorang peserta ditugaskan melecutkan pecut untuk menentukan rentak tarian dan apabila muzik mula bergema, penari-penari akan masuk ke dalam gelanggang.

Rentak muzik bermula dengan perlahan dan agak membosankan dan setiap penari akan menunggang dan mengawal kuda mengikut pola yang ditentukan oleh rentak dan irama lagu itu.

Ketika muzik menjadi lebih pantas, kuda-kuda akan bergerak dengan lebih laju, ketika itu para penari boleh melakukan pergerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat dan melompat-lompat setinggi 1.8 meter.

Semasa penari dalam keadaan itu, muzik yang mengiringi tarian akan bertambah rancak kerana dipercayai jika alunan muzik tidak rancak, penari-penari akan menerkam atau menendang pemain muzik seakan-akan kuda yang sedang berang.

Penari akan menari selama dua jam sehingga terpukau dengan kehebatan pergerakan mereka dan keadaan itu mengakibatkan mereka lalai dan bermimpi seakan menunggang kuda yang sebenar sambil menari dengan iringan muzik.

Disebabkan itu, mereka cuba menyaingi muzik itu dan ia dipanggil 'naik syeh'.

Jika keadaan bertambah teruk dan tidak dapat dikawal, ketua akan mengarahkan pembantunya yang ditempatkan di setiap sudut gelanggang untuk menangkap dan merebahkan mereka ke tanah sebelum dibacakan jampi untuk memulihkan mereka kepada keadaan asal.

Terdapat pantang larang dalam permainan kuda kepang iaitu pemain tidak boleh diganggu semasa dalam persembahan atau ketika sedang 'mabuk' dengan tarian.

Pemain juga dikatakan tidak boleh melihat kain merah kerana ia merupakan pantang larang semulajadi selain mereka juga tidak boleh melihat kaca kerana bimbang akan memakannya.

Ulasan

Popular Post

Kata Kata hikmah

KWSP vs PENCEN

Payudara

Skim rumah pertama

Banjir di kemaman