Memanfaatkan sebuah perbezaan


Ketika berdepan dengan ujian dan masalah kehidupan, mungkin ada sesetengah kita mengimpikan sebuah dunia yang semuanya sama seperti kita. Biar sependapat, sepemikiran, satu selera dan kemahuan, malah mungkin satu bangsa, satu bahasa bahkan satu jantina.

Tetapi semua itu adalah impian yang mustahil. Bukan sahaja mustahil malah tidak perlu. Manusia tidak perlu kepada semuanya serupa dan satu. Malah manusia sebetulnya perlu kepada kepelbagaian dan perbezaan.

Justeru Allah SWT menyebut di dalam al-Quran:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). [Al-Hujuraat : 13]

Yang menjadikan manusia itu ada lelaki dan ada perempuan adalah Allah.

Yang menjadikan manusia itu berbeza bangsa dan berbeza bahasa juga adalah Allah.

Jika segala perbezaan antara lelaki dan perempuan, serta kelainan antara bangsa-bangsa yang wujud di dunia ini, kita anggap ia sebagai punca masalah, apakah kita mahu menisbahkan masalah kita kepada Allah?

Harusnya kita semua tidak lupa, mengapa perbezaan itu diciptakan Allah.

Allah menciptakan manusia itu berbeza jantina, berbeza bangsa dan budaya, bukan untuk mereka berbalah dan tenggelam dalam khilaf dan masalah. Sebaliknya atas satu tujuan yang besar. Segala perbezaan itu tujuannya adalah supaya manusia mengecam dan mengenal. Belajar antara satu sama lain. Kerana manusia sering menjadi musuh kepada apa yang dia tidak tahu.

Lelaki dan perempuan berbeza pertimbangan.

Wanita itu kekuatannya adalah pada emosi dan perasaan. Kerana itu biar pun tubuhnya tidak segagah seorang lelaki, Allah menjadikan wanita sebagai pihak yang hamil mengandungkan anak ditumpang 9 bulan di dalam perutnya. Itu memerlukan kekuatan perasaan lebih daripada sekadar kekuatan fizikal menanggung berat 10 atau 20 kilogram selama 9 bulan. Lelaki tidak layak untuk hamil kerana perasaan lelaki tidak sekuat perempuan.

Justeru jangan dimusuhi perasaan wanita. Kerana perasaan itulah ibumu lulus melahirkan kamu dan adik beradikmu.

Namun wanita juga harus belajar untuk faham. Ketika perasaan menjadi kelebihan dirinya, perasaan juga sering menimbulkan kesulitan kepada suami, yang diciptakan Allah pertimbangannya lebih kepada akal. Jangan sering membebankan suami dengan kehendak perasaan. Sebaliknya hargai suami yang biar pun kurang menunjukkan emosi, tetapi sering panjang akal fikirannya.

Allah melantik suami sebagai pemegang amanah menguruskan TALAQ kerana suami sebagai lelaki harus panjang akal. Hitungannya mendalam. Fikirnya tidak mengikut keadaan dan perasaan. TALAQ musnah jika dikendalikan dengan emosi. Justeru suami harus menyedari akan hal ini, demikian juga sang isteri.

Demikian juga dengan perbezaan bangsa, bahasa dan budaya. Jika kita melihat kewujudan masyarakat majmuk ini sebagai punca masalah, maka ia akan terus memberi masalah kepada kita. Tetapi sebagai Muslim, kita sedar bahawa kemajmukan itu Allah yang mengadakannya. Dan Allah tidak mencipta apa sahaja hatta seekor lalat sekali pun, tanpa sebab dan sia-sia. Justeru kita harus kembali kepada tujuan tersebut dan mengambilnya sebagai tanggungjawab.

Apa sahaja ilmu yang bisa membantu kita untuk lebih kenal dengan siapa jiran, siapa rakan dan siapa manusia yang berada di sekitar kita, mesti diangkat sebagai ilmu yang fardhu untuk dipenuhi.

Lihat sahaja bagaimana kepelbagaian bangsa memberikan pelbagai manfaat apabila ia diambil secara positif

Mungkin ada yang berkata, “mengapa kita sahaja yang harus berusaha secara positif? Tidakkah itu suatu perkara yang tidak adil? Kita kalah jika kita tidak bertindak balas?”

Perkataan-perkataan itu memang berbunyi pahlawan. Tetapi Islam mempunyai caranya yang tersendiri dalam memberikan maksud kepahlawanan.

Kembalilah kita kepada hadith Baginda s.a.w:

“Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang dikatakan gagah itu orang yang dapat memiliki (mengawal) dirinya ketika marah” [Muttafaq ‘alayh]

Kegagahan sebenar adalah pada keupayaan seseorang itu mengawal dirinya, terutamanya ketika marah. Marah boleh membuatkan seorang manusia bertindak menghancur binasakan dunia. Manusia yang mampu mengawal diri kita diri terbakar disambar api kemarahan, itulah manusia yang gagah.

Justeru Islam berani menawarkan bentuk penyelesaian yang luar biasa.

Jika kebanyakan manusia melihat kekerasan mesti ditumpaskan dengan kekerasan, Islam berformula sebaliknya. Kekerasan dan onar perlakuan manusia yang melampaui batas, memang boleh dikawal dengan kekerasan, tetapi ia hanya benar-benar tumpas apabila kita mendatangkan tindak balas yang lebih baik dan bijak.

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumNya) perbuatan Yang baik dan perbuatan Yang jahat. Tolaklah (kejahatan Yang ditujukan kepadamu) Dengan cara Yang lebih baik; apabila Engkau berlaku demikian maka orang Yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, Dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat : 34]

Jahat dibalas jahat, keras dibalas keras, sering menjadi seumpama batu dihentak dengan batu. Bukan sahaja salah satu atau keduanya pecah, bahkan turut menyalakan api yang membakar. Tetapi batu kalah dengan air. Batu tenggelam ke dalam air. Batu juga akhirnya menjadi licin dan terbentuk oleh air yang lembut.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Terima kasih, pekerjaan yang baik! Ini adalah hal yang saya harus miliki.
Tanpa Nama berkata…
Saya sangat suka situs Anda. Excellent konten. Silakan lanjutkan posting konten yang mendalam seperti itu.

Popular Post

Kata Kata hikmah

KWSP vs PENCEN

Payudara

Skim rumah pertama

Banjir di kemaman