Khamis, 21 April 2016

Persahabatan Menurut Imam Syafie

1. Sahabat Yang Baik
Aku mencintai sahabat-sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang seiring sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup ataupun setelah aku mati.

Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tak luntur baik dalam keadaan suka ataupun duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.

Kuhulurkan tangan kepada sahabat-sahabatku untuk berkenalan, kerana aku akan merasa senang. Semakin banyak aku perolehi sahabat, aku semakin percaya diri.

2. Mencari Sahabat di Waktu Susah
Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Padahal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka. Kalau duka melanda, aku sering bertanya .... siapakah yang sudi menjadi sahabatku.

Dikala aku senang, sudah biasa bahawa banyak orang yang akan iri hati, namun bila giliran aku susah merekapun bertepuk tangan.

3. Pasang Surut Persahabatan
Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik. Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tak ubahnya roda zaman yang tak mahu bersahabat dengan keadaan. Jika aku menjauhkan diri dari mereka, mereka mencemuhkanku, dan jika aku sakit, tak seorangpun yang menjengukku. Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai

4. Mengasingkan Diri Lebih Baik Daripada Bergaul Dengan Orang Jahat
Bila tak kutemukan sahabat-sahabat yang taqwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang-orang jahat.

Duduk sendirian untuk beribadah dengan tenang adalah lebih menyenangkanku daripada bersahabat dengan kawan yang mesti kuwaspadai.

5. Sukarnya Sahabat Sejati
Tenanglah engkau dalam menghadapi perjalanan zaman ini. Dan bersikaplah seperti seorang paderi dalam menghadapi manusia. Cucilah kedua tanganmu dari zaman tersebut dan dari manusianya. Peliharalah cintamu terhadap mereka, maka kelak kamu akan memperolehi kebaikannya.

Sepanjang usiaku yang semakin tua, belum pernah aku temukan di dunia ini sahabat yang sejati. Kutinggalkan orang-orang bodoh kerana banyak kejelekannya dan kujauhi orang-orang mulia kerana kebaikannya sedikit.

6. Sahabat Sejati Di Waktu Susah
Kawan yang tak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan. Tidak ada yang abadi, dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah.

Sepanjang hidupku aku berjuang keras mencari sahabat sejati sehinggalah pencarianku melenakanku. Kukunjungi seribu negara, namun tak satu negarapun yang penduduknya berhati manusia.

7. Rosaknya Keperibadian Seseorang
Dalam diri manusia itu ada dua macam potensi tipuan dan rayuan. Dua hal itu seperti duri jika dipegang dan ibarat bunga jika dipandang. Apabila engkau memerlukan pertolongan mereka, bersikaplah bagai api yang dapat membakar duri-duri itu.

8. Menghormati Orang Lain
Barangsiapa menghormati orang lain, tentulah dia akan dihormati. Begitu juga barangsiapa menghina orang lain, tentulah dia akan dihinakan.

Barangsiapa berbuat baik kepada orang lain, baginya satu pahala. Begitu juga barangsiapa berbuat jahat kepada orang lain, baginya seksa yang dahsyat.

9. Menghadapi Musuh
Ketika aku menjadi pemaaf dan tak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas dari bara permusuhan. Ketika musuhku lewat di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga dmku dari kejahatan.

Aku tampakkan keramahanku, kesopananku, dan rasa persahabatanku kepada orang-orang yang kubenci, sebagimana kutampakkan hal itu kepada orang-orang yang kucintai.

Manusia adalah penyakit, dan penyakit itu akan muncul bila kita mendekati mereka. Padahal menjauhi manusia bererti memutuskan persahabatan.

10. Tipu Daya Manusia
Mudah-mudahan anjing-anjing itu dapat bersahabat denganku, kerana bagiku dunia ini sudah hampa dari manusia. Sehina-hinanya anjing, ia masih dapat menunjukkan jalan untuk majikannya yang tersesat, tidak seperti manusia-manusia jahat yang selamanya tak akan memberi petunjuk. Selamatkanlah dirimu, jaga lidahmu baik-baik, tentu kamu akan bahagia walaupun kamu terpaksa hidup sendiri.

11. Tempat Menggantungkan Harapan
Apabila engkau menginginkan kemuliaan orang-orang yang mulia, maka dekatilah orang yang sedang membangun rumah untuk Allah. Hanya orang yang berjiwa mulia yang dapat menjaga nama baik dirinya, dan selalu menghormati tamunya, baik ketika hidup mahupun setelah mati.

12. Menjaga Nama Baik
Jika seseorang tak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, maka tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya. Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirehat. Dalam hati masih ada kesabaran buat sang kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras.

Tak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu, dan sikap ramahmu kadangkala dibalas dengan sikap tak sopan. Jika cinta suci tak datang dari tabiatnya, maka tak ada gunanya cinta yang dibuat-buat.

Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang telah terbentuk dan akan menampakkan hal-hal yang kelmarin menjadi rahsia. Selamat tinggal dunia jika atasnya tidak lagi ada sahabat yang jujur dan menepati janji.

Pekerjaan berkaitan Arak & Riba


Terdapat dua jenis pekerjaan yang kadang-kadang umat Islam alpa/lupa mengenai pengharamannya. Yang pertama, ialah semua jenis pekerjaan yang ada kaitan dengan arak. Yang kedua, ialah semua jenis pekerjaan yang berkaitan dengan riba’.

1. Pekerjaan yang berkaitan dengan arak.

Pengharaman ini telah diperincikan menerusi hadith nabi yang bermaksud:

“Rasulullah s.a.w. melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak:
1. Yang memerahnya
2. yang minta diperahkan untuknya
3. yang meminumnya
4. yang membawanya
5. yang minta dihantarinya
6. yang menuangkannya
7. yang menjualnya
8. yang makan harganya
9. yang membelinya
10. yang minta dibelikannya.”
(Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

Dalam riwayat yang lebih kuat, Rasulullah bersabda:

Hadith Nabi SAW : “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan arak, maka barangsiapa yang telah mengetahui ayat ini dan dia masih mempunyai arak walaupun sedikit, jangan minum dan jangan menjualnya.” (Riwayat Muslim)

Justeru, adalah jelas hukum beberapa jenis pekerjaan yang berkaitan dengan arak. Ini termasuklah:

1. Pemandu lori kedai arak.
2. Pemilik kedai yang menjual arak.
3. Juruwang (cashier/till machine operator) yang menguruskan pembelian arak.
4. Pekerja buruh di kilang arak dan yang mengangkut arak.
5. Pelayan kafe, restoran dan pramugari/a yang menghidangkan arak.
6. Kerani dan pegawai di syarikat yang berurusan secara terus dengan arak.
7. Syer/kongsi saham/makan persen/pengeluar lesen/pihak berkuasa yang meluluskan
8. Dan lain-lain.

2. Pekerjaan yang berkaitan dengan riba.

Secara mudahnya, amalan riba boleh dilihat secara langsung dan tidak langsung pada masa kini melalui urusan pinjaman konvensional dari bank-bank. Walaupun telah wujud bank Islam mahupun bank-bank konvensional yang menyediakan perkhidmatan perbankan Islam, wujud di kalangan kita yang masih tidak cuba/mahu menggunakan sistem perbankan Islam.

Mungkin berpendapat sistem perbankan islam lebih mahal serta melibatkan berbagai proses dan lain-lain alasan lagi. Hakikatnya, pada masa kini sistem perbankan islam telah berkembang pesat dan mula mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dan sudah mampu menandingi sistem perbankan konvesional. Keruntuhan sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba sepertimana berlaku di eropah iaitu grece dan lain-lain lagi negara menunjukkan sistem kovensional ini sangat rapuh, menindas,lemah dan penuh dengan tipu daya spekulatif.

Dosa Riba

Di Akhirat: Berkatalah Ibnu Abbas r.a.: “Tidak diterima dari pemakan riba sedekahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya.” (Al-Jami’ li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362 ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224)

Pengamal Riba Umpama Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri
Rasulullah SAW bersabda: “Riba mempunyai 73 pintu. Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.” (HR Ibnu Majah, 2/764; Al-Hakim: Sahih menurut syarat Bukhari dan Muslim)

Lebih Berat dari 36 Kali Zina
Rasulullah SAW bersabda: “Satu dirham Riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali.” (Musnad Ahmad , 2/225; Ad-Dar Qutni, hlm 295; Albani mengatakan sahih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadis Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103)

Riba Adalah Salah Satu Dari Dosa Terbesar
Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Jauhilah tujuh dosa besar: Syirik, Sihir, Membunuh tanpa hak, Makan harta anak yatim, Makan riba, Lari dari medan peperangan (kerana takut) dan Menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil).“ ( HR Bukhari dan Muslim)
Selain beberapa ayat al-Quran, hadith nabi juga turut menyentuh mengenai pengharaman riba, serta mereka-mereka yang membantu transaksi riba. Sebagai contoh, hadith nabi yang bermaksud:

“Dilaknati Rasulullah SAW pemakan (penerima) riba, dan pemberi makan (pemberi riba), saksinya dan penulisnya.” ( Riwayat Abu Daud, no 3333, At-Tirmidzi & Albani: Hasan Sohih )

Hadith ini jelas mengharamkan umat Islam daripada bekerja di beberapa sektor yang berkaitan langsung dengan riba. Antara contoh pekerjaan yang boleh difahami berdasarkan hadith di atas ialah:

1. Penerima dan memanfaatkan riba’ – ini termasuk orang yang menggunakan manfaat keuntungan riba seperti sektor pelaburan berasaskan riba’, perniagaan kredit/hutang berasaskan riba’, dan pelabur deposit tetap ribawi yang bergantung kepada keuntungan pelaburannya.

2. Pembayar riba’ – pengguna perkhidmatan bank konvensional berasaskan riba’, termasuklah pembeli rumah dan kereta menerusi kaunter pinjaman riba’, pelabur yang melaburkan wang mereka di dalam pelaburan riba’ dan pengguna/pembayar kad kredit yang terlibat dengan transaksi riba terutamanya ketika pembayaran lewat tempoh.

3. Saksi riba – termasuklah penjamin dan saksi kepada kontrak berasaskan riba meliputi pinjaman kereta, pelajaran, rumah dan lain-lain.

4. Penulis riba – termasuklah kerani kaunter di bank konvensional berasaskan riba’, peguam yang menguruskan dokumen urusniaga rumah seperti kontrak jual beli dan lain-lain, pegawai pemasaran produk berasaskan riba serta pihak berkuasa yang meluluskan urusniaga riba’.

Apa tindakan anda sekiranya anda terlibat dalam salah satu pekerjaan di atas?

1. Bertaubat.
2. Berhenti daripada melakukan pekerjaan tersebut, walaupun ianya dilihat mengurangkan keuntungan atau mengundang kerugian kepada diri/syarikat anda.

Apakah lagi yang wajar anda lakukan?

1. Sebar nota ringkas ini kepada yang lain.
2. Tegur sahabat-sahabat anda yang terlibat dengan pekerjaan-pekerjaan di atas dengan berhikmah.[tanpa prasangka]
3. Jaga anak-anak dan keturunan anda daripada terlibat dalam pekerjaan di atas. Penekanan perlu diberikan kepada mereka yang bekerja buruh, part-time worker, peguam, peniaga, peminjam (kereta, rumah dan pelajaran) dan pelabur.

Kesan kalau anda teruskan pekerjaan anda:
1. Mendapat dosa.
2. Mendapat balasan daripada Allah.
3. Ada juga yang mendapat petanda balasan di dunia lagi, seperti keuntungan yang anda perolehi terputus barakah (tidak berkat). Contoh gejala tidak berkat ialah:
a. walaupun gaji/untung besar, tapi masih rasa tidak cukup.
b. keluarga tidak bahagia.
c. rumah/kereta/pelajaran yang dibeli menerusi riba’ bermasalah.
d. hilang ketenangan hidup.
e. dan lain-lain.

Hayatilah firman Allah SWT, peringatan Perang Allah swt ke atas mereka yang terlibat dalam industri riba

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kalian orang-orang yang beriman. Jika kalian tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kalian. Dan jika kalian bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagi kalian pokok harta kalian; kalian tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” (Al-Baqarah: 278-279)

Terpulanglah kepada kita untuk membuat keputusan yang terbaik, biarlah rezeki yang kita dapat itu sedikit, tetapi penuh dengan keredaan dan rahmat Allah s.w.t. Memanglah sistem perbankan Islam yang ada kini tidaklah boleh dikatakan 100% 'islamic', tetapi sepertimana kita faham akan kaedah fiqh yang menyatakan secara konsepnya, 'hendaklah dipilih 'mudarat' yang lebih kecil antara dua mudarat yang wujud'.

Adakah kita berada dalam keadaan 'darurat' sepertimana di sisi syariah islam untuk kita bergelumang dengan selimut 'riba' ini? Adakah jika tidak terlibat dengan riba ini kita akan mati kebuluran, sakit atau mati? Cukuplah kesederhanaan jika itu sumber untuk kita mendapat kerahmatan Allah s.w.t.

Rabu, 20 April 2016

Bisnes yang menipu

STRATEGI BISNES YANG MENIPU

Apabila kita ingin membeli tiket kapalterbang, kita adakalanya akan dapati terdapat nota kecil menunjukkan "Only 1 Seat Left", iaitu pada waktu-waktu yang ada pada tarikh yang dikehendaki. Ketahuilah nota tersebut adakalanya adalah hanya strategi syarikat untuk mendesak dan mendorong kita membeli secepat mungkin.

Saya pernah mencuba, apabila mencari tiket untuk satu orang, tiba-tiba kelihatan tanda nota "One Seat Left", namun apabila saya masukkan semula data untuk pembelian dua tiket pula pada tarikh dan waktu yang sama, saya dapati tanda nota "One Seat left", sudah tiada tapi kali ini bertukar ke "two seats left"

Strategi yang sama adakalanya digunakan oleh penjual untuk cepat melariskan barangan dan seolah memukau pembeli agar jangan berfikir lagi serta segera bertindak membeli.

Ketahuilah, JIKA kehabisan atau tinggal sedikit itu BUKAN FAKTA SEBENAR tetapi rekaan, itu adalah suatu berdosa bagi penjual serta haram hukumnya atas sebab penipuan. Atas sebab itu, juga Nabi mengingatkan :-
إن التجار هم الفجار قالوا يا رسول الله أليس قد أحل الله البيع قال بلى ولكنهم يحلفون فيأثمون ويحدثون فيكذبون
Ertinya : Sesungguhnya peniaga-peniaga adalah mereka yang jahat-jahat, sahabat bertanya : wahai Rasulullah, bukankah Allah telah menghalalkan jual beli , Nabi menjawab : Bahkan, tetapi peniaga (yang fujjar atau jahat) ini mereka kerap bersumpah (tentang kehebatan barangan yang dijual) dan mereka berdosa kerananya, mereka juga bila bercakap (ketika promosi) mereka akan sentiasa berbohong. (Riwayat Al-Hakim, sohih isnadnya menurut syarat Bukhari & Muslim; Al-Baihaqi)

Ustaz Zaharuddin

DOSA RIBA, DOSA BESAR YANG SUKA KITA LAKUKAN

DOSA RIBA, DOSA BESAR YANG SUKA KITA LAKUKAN

1).Tahukah kita apakah dosa besar yang pelik? Ia adalah dosa Riba. Dari segi kategori dosa besar, tiada dosa besar yang Allah gambarkan dosanya seperti perang dengan Allah dan Rasul melainkan ianya dosa Riba. 

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki Riba, jika benar kamu orang- orang yang beriman. (al-Baqarah: 278).

oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan Yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.(al-Baqarah : 279)”

2).Mengapa Dosa Riba itu Pelik?

Biarpun gambaran dosa Riba adalah besar, namun saya merasakan bahawa dosa Riba kurang dihayati dan diimani oleh umat Islam di Malaysia ini. Jika benarlah begitu, ia mungkin kerana 2 sebab iaitu (1) ia telah bersarang dalam urusan kewangan dan ekonomi sehingga menjadi habit buruk yang diterima, dan (2) Akibat kurang ilmu, ia dianggap dosa Pelik?

(1)     Dosa Riba ini sebenarnya dosa yang ’pelik’ dan berbeza daripada kebanyakan bentuk dosa-dosa besar yang lain. Pelik maksudnya ialah pelik merujuk kepada sikap dan respon manusia terhadap Dosa ini.

(2)     Masih terlalu ramai yang terlibat tetapi berbuat tidak tahu (walaupun tahu). Sebahagian mereka pula ada yang mula berfikir, berniat atau ketahap merancang untuk melepaskan diri namun usahanya tidak bersungguh-sungguh.

(3)     Ada tu pula tidak begitu perihatin dalam urusan kewangan peribadi kerana walaupun mereka memfokuskan kepada bank Islam namun masih ada sebahagian kecil urusan mereka yang berada dalam Riba- kepada mereka kita katakan bahawa kadar 1 transaksi Riba yang serius adalah atas minimum wang Riba sekitar RM50-00 sahaja. Oleh itu, sebagai contoh jumlah RM50-00 yang dibiarkan di dalam akaun simpanan Riba, sudah merisiko panas api neraka.

(4)     Sebahagian manusia merasa kehairanan dan kebingungan kerana tak nampak di mana rasa besar sangat dosanya berbanding dosa berzina dan dosa minum arak atau sebagainya. Mereka tak nampak kesan buruk kepada diri dan keluarga. Untuk mereka, kita katakan bahawa mereka sendiri yang gagal memahami tanda-tandanya.

(5)     Dosa Riba adalah Dosa Besar. Malah lebih besar daripada setengah dosa –dosa besar yang lain. Namun kedudukannya agak ’pelik’. Tiada kuatkuasa atas kesalahan dan perlakuan Riba itu. Tidak seperti kesalahan zina. Bagi kes Zina, ada penguatkuasaan ada jabatan yang memantau perlakuan dosa ini, sehingga sampaikan timbul dakwaan dikatakan ’mengintip’ atau ’mengendap’.

(6)     Seterusnya bagi kes zina, ada proses bicara di mahkamah, ada hukuman denda dan penjara (walaupun bukan hukuman mengikut ketetapan syarak). Tapi tiada kuatkuasa sedemikian terhadap amalan Riba. Bahkan entahkan ada entahkan tidak, pandangan serong masyarakat kepada pelaku dan pengamal Riba. Mungkinkah pengamal2nya orang-orang kaya dan berduit yang kadangkala penyumbang terbesar dana masjid dan surau dan penyedekah juadah paling lazat semasa kenduri tahlil? Namun kita dimaklumkan oleh ustaz Dosa Riba lebih berat daripada berzina yang bukan sekali tapi banyak kali (tak ingat jumlah perbandingannya.? Lantas apa maksudnya?

(7)     Tiada perundangan atau undang-undang di Malaysia sama ada pada pihak sivil atau pihak syariah, pada peringkat pusat atau jabatan agama negeri, yang menghalang kita melanggan produk Riba. Jadi macammana nak rasa bersalah atau berdosa? Atau macamana nak salahkan orang Islam yang melanggan jika ia dibenarkan untuk dilanggan?

(8)     Kesimpulannya. Riba adalah dosa yang Pelik kerana biarpun ia dosa besar yang betul-betul besar tetapi tidak diberikan ’P E N G H O R M A T A N’ yang selayak baginya... oleh kerajaan dan masyarakat kita.Kesannya, ia dengan itu menimbulkan salah tanggapan , keraguan dan ketidakyakinan tentang status Riba sebagai Dosa Besar dan/atau telah menimbulkan perasaan dalam hati kebanyakan manusia bahawa dosa besar Riba ini tidaklah sebesar mana. Astaghfirullah.

(9)     Amalan Riba telah terlalu meluas. Melibatkan wang dan perbankan. Tunjang Industri kewangan. Keperluan nafsu dan keseronokan. Pada masa kini, kekuatan perbankan Riba masih menguasai pasaran jauh mengatasi perbankan Islam. Ini menunjukkan terdapat lambakan produk Riba di pasaran samada dalam bentuk pinjaman, pelaburan, simpanan,kredit kad dan sebagainya.

(10) Kekuatan wang yang besar pada dana-dana Riba ini membolehkan produk-produk Riba di iklankan, di promosi, ditonjolkan, digambarkan dan divisualisasikan secara yang begitu menarik dan hebat, jimat dan menguntungkan.

(11) Proses penyebaran maklumat pengiklanan dan promosi yang begitu meluas dengan kadar kekerapan yang tinggi dilakukan melalui pelbagai media massa (televisyen, radio, akhbar-akhbar, internet, cineplex, pusat-pusat membelibelah, di majlis dan festival-festival, rumah ke rumah, panggilan telefon, pos, sistem sms, kenderaan-kenderaan awam, banner dan poster, di premis-premis perbankan dan lain-lain lagi menyebabkan mereka sampai hadir ’dalam mimpi-mimpi kita’.

(12) Penawar-penawar Riba ini digembeling oleh suatu kumpulan manusia yang begitu fokus dalam kerja dan perniagaan mereka. Begitu mesra bersemangat dan efisyen dalam tugasan dan perkhidmatan mereka, menjadikan kita sentiasa gembira dengan mereka dan produk mereka dan kita akan kembali dan kembali kepada mereka bila sahaja kita memerlukan. Kita dan generasi kita kekal menjadi pelanggan setia.

(13) Justeru, seorang lelaki muda yang mempunyai pengetahuan mengenai ilmu Riba dan penghayatan agama yang sederhana, Baru setahun dua bekerja dan mengumpul wang. Ingin berumah tangga, ingin membeli kereta, ingin membeli rumah, namun masih tidak cukup wang biarpun gajinya agak boleh tahan. Penat berfikir untuk menyelesaikan masalah, lalu beliau singgah masuk ke sebuah pusat membeli-belah untukkononnya me’relax’kan minda..... tiba-tiba siteruna dihampiri gadis jelita dan manja dari kaunter promosi oleh suatu bank (konvensional) di sebuah pusat membeli belah dengan lembut bersopan ia berkata ”Abang, singgah sekejap.. kami ada tawaran istimewa kredit kad.. syarat kelulusan mudah.”...dengan senyuman melirik ayu. Lantas apa berlaku?one thing lead to another... satu perkara membawa kepada suatu perkara lain dan akhirnya tanpa disedari berlaku keterlanjuran yang disesali.............

Penyelesaian Sementara.

Oleh itu kaedah menangani dosa Riba adalah berbeza. Ia perlukan kekuatan diri sendiri. Tiada bantuan daripada pihak berkuasa atau undang-undang. Tiada paksaan!. Benteng cegahan hanya disandarkan kepada kekuatan akidah dan iman.

Riba dalam pekerjaan

Fakta Mengenai Riba dalam Pekerjaan  

Mereka yang terlibat dalam transaksi riba ini adalah seperti berikut:

Pemakan Riba: Pada istilah moden disebut penerima riba, iaitu mereka yang mendapat hasil atau keuntungan (wang) dalam transaksi riba. Sebagai contoh, seseorang memberikan pinjaman kepada seseorang yang lain dan mengenakan faedah iaitu dengan lebihan bayaran.
 
Pemberi Riba: Orang yang menerima atau membuat pinjaman tadi. Peminjam termasuklah seseorang yang menggunakan khidmat yang berunsur riba. Dalam keadaan sekarang, perbankan banyak menawarkan produk-produk berunsur riba sama ada dalam pelbagai bentuk pinjaman, penggunaan kad kredit dan lain-lain. Sekiranya produk-produk ini dilanggan oleh seseorang atau mana-mana pelanggan, maka pelanggan itu adalah pemberi riba. Pelangganlah yang memberi lebih wang atau hasil riba kepada pemberi pinjam atau bank.

Saksi dan Penulis Riba
Di antara pemberi riba, terdapat  orang atau lain-lain pihak yang terlibat dalam membantu atau menjayakan transaksi itu. Sama ada sumbangannya kecil atau besar, penting atau tidak, langsung atau tidak langsung, ia dan kesemuanya adalah suatu kerjasama kepada suatu perlakuan dosa besar, iaitu riba. 
 
Mereka yang menyaksikan transaksi riba ini me-rangkumi pelbagai bidang yang bertalian atau berantaian mengikut kerelevenan peranan dan fungsi masing-masing termasuklah peguam, pegawai-pegawai bank, penjamin-penjamin, penggadai, mungkin pihak tertentu di pejabat tanah, pejabat stem, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Sumpah dan sebagainya. 
 
Dari satu aspek sumbangan yang besar, langsung dan penting dalam menjayakan transaksi riba tersebut sudah tentulah besar kedudukan dosa seseorang itu. Namun ALLAH Taala melalui lisan Rasul-NYA telah menyamakan mereka semua.
Oleh itu yang dikatakan sebagai ‘saksi’ itu disifatkan sebagai berada dalam kedudukan yang sama dengan si pemberi dan penerima riba.  
 
Di sinilah ‘ngeri’ nya kedudukan mereka kerana dia bukan sekadar memberi pertolongan, bahkan memberikan khidmat profesional dan mendapat bayaran daripada tu-gasan-nya dalam membantu menjayakan transaksi riba itu.  
 
Bahkan, bagi satu urusan transaksi riba antara pemakan riba dan pemberi riba, ia adalah satu kes atau satu transaksi bagi pemakan riba dan pemberi riba itu. 
 
Sedangkan bagi saksi dan penulis yang sama, dia akan memberi khidmatnya yang sama bagi kes dan urusan transaksi riba yang lain melibatkan pemakan riba dan penerima riba yang lain.
Senarai tugasan (khidmat riba) itu akan berterusan bagi kes-kes lain yang mendatang. Itulah sebahagian sumber penting pendapatan dan tugas lazim kerjayanya.
Lalu apakah kesudahannya? 

 
Dalil, Nas dan Autoriti Dosa Riba

Orang yang memakan riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan
“Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal ALLAH telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharam-kan riba...-Al-Baqarah: 275

Firman ALLAH lagi:
Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada ALLAH dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang yang beriman.  - Al-Baqarah: 278
 

Nasihat Kepada Semua
Justeru, apa yang dibincangkan tadi amat relevan sebagai amaran kepada kita atau orang yang tersayang daripada terlibat dalam bidang kerja, tugas atau perkhidmatan atau sebarang urusan dan transaksi;  yang mengandungi unsur syubhat dan haram seperti rasuah, riba, penipuan, jenayah, judi, arak dan lain-lain.
Kepada yang berkenaan, selesaikanlah permasalahan ini dengan segera … 

RISIKO MEMBELI RUMAH SUB-SALE YANG DALAM PROSES TINDAKAN LELONGAN OLEH BANK.

RISIKO MEMBELI RUMAH SUB-SALE YANG DALAM PROSES TINDAKAN LELONGAN OLEH BANK.

Ramai yang berhadapan dengan masalah apabila rumah sub-sale yang mereka beli daripada Penjual, rupa-rupanya dalam proses tindakan lelongan oleh pihak bank.
Berdasarkan pengalaman saya, kebiasaannya pembeli tidak tahu yang rumah tersebut dalam proses lelongan oleh bank. Ini kerana penjual jarang hendak berterus terang tentang status sebenar rumah tersebut.
Sehinggalah apabila peguam ingin memohon penyata baki hutang terkini daripada bank penjual, barulah bank beritahu yang mereka tidak boleh keluarkan penyata baki hutang terkini akaun rumah penjual kerana rumah tersebut dalam tindakan lelongan oleh pihak bank.
Tanda-tanda untuk kenalpasti sesuatu rumah itu berkemungkinan besar dalam proses tindakan lelongan oleh bank adalah :

1. Kebiasaannya penjual akan desak pembeli bayar deposit harga jual beli dengan segera tanpa perlu tunggu tandatangan perjanjian jual beli. Mereka akan bagi alasan yang kononnya ramai pembeli berminat untuk beli rumah tersebut. Jadi siapa bayar deposit dahulu mereka akan dapat rumah tersebut. Atau mereka akan bagi alasan kononnya hendak pakai duit segera sebab anak sakit dan sebagainya. Padahal mereka terdesak hendak duit sebab hendak bayar hutang bank.

2. Kebiasaannya Penjual akan menjual rumah tersebut dengan harga yang agak murah daripada harga pasaran. Mereka fikir kalau dapat jual harga tinggi sedikit daripada jumlah tunggakan bank, mereka sudah buat untung.

3. Kebiasaannya Penjual akan desak pembeli dan peguam pembeli untuk cepatkan urusan penyelesaian jual beli. Kalau boleh setiap hari mereka akan telefon dan follow up tanya bila boleh dapat bayaran harga jual beli.

Jadi jika berjumpa dengan situasi- situasi sedemikian, berhati-hatilah ya.
Apakah risiko-risiko beli rumah dalam kategori sedemikian?

1. Anda akan berhadapan dengan risiko kerugian. Ini kerana sekiranya anda telah menjelaskan sebarang bayaran harga jual beli terus kepada penjual tersebut, sedangkan rumah tersebut telah dilelong oleh bank, saya berani kata, kebarangkalian anda akan dapat balik bayaran tersebut daripada penjual adalah amat tipis. Secara logiknya, kalau hutang bank pun mereka tidak mampu bayar, masakan mereka akan bayar balik duit yang anda telah berikan kepada mereka.

2. Bank penjual kebiasaannya sukar untuk keluarkan penyata baki hutang sekiranya rumah tersebut dalam proses lelongan, melainkan penjual atau pembeli menjelaskan keseluruhan bayaran tunggakan yang telah ditetapkan oleh pihak bank. Sekiranya penyata baki hutang tidak diperolehi, bagaimanakah proses tebus hutang boleh dilaksanakan.? Dan ini akan menyebabkan pindah milik daripada penjual kepada pembeli tidak boleh dilakukan kerana geran asal hartanah tersebut tidak dilepaskan oleh pihak bank.

3. Pembeli juga terpaksa berhadapan dengan kerugian kerana telah keluarkan kos guaman peguam untuk urusan jual beli rumah tersebut. Kebiasaannya, peguam tidak akan mengembalikan keseluruhan kos guaman yang telah dijelaskan kerana mereka telah buat kerja. Bahkan menurut Perintah Saraan Peguam di bawah Akta Profesion Guaman, peguam boleh kenakan fee guaman separuh daripada fee guaman sebenar sekiranya urusan tersebut tidak berjaya disempurnakan.

4. Pembeli juga bakal berhadapan dengan kerugian kerana terpaksa membayar harga jual beli yang agak sedikit tinggi kepada penjual. Sedangkan sekiranya mereka sambut lelong rumah tersebut, kebiasaannya harga rezab lelongan yang ditetapkan adalah lebih rendah berbanding harga jual beli.

5. Ada juga kedapatan Pemilik yang berdegil untuk keluar daripada rumah mereka walaupun setelah ianya dilelong oleh bank. Ini kerana, seseorang yang terpaksa menjual rumahnya yang sedang berhadapan dengan tindakan lelongan oleh bank kebiasaannya mereka ini dalam keadaan yang terdesak. Mereka tiada tempat untuk pergi. Oleh itu mereka terpaksa bertahan dirumah tersebut.

Cuba bayangkan, sekiranya anda beli rumah tersebut, tiba-tiba penjual enggan serahkan milikan kosong rumah tersebut kepada anda. Tak fasal-fasal anda terpaksa keluarkan kos tambahan lantik peguam untuk ambil tindakan mahkamah keluarkan mereka daripada rumah tersebut. Silap-silap haribulan jika tidak bernasib baik, anda bakal dihidangkan dengan “parang dan cangkul” dimuka pintu rumah tersebut sebaik sahaja anda cuba datang ke rumah tersebut.

Jadi, nasihat saya, sebelum membeli sesuatu rumah sub-sale, selidikilah dulu sama ada penjual ada tunggakan hutang dengan bank atau tidak atau sama ada terdapat prosiding lelongan telah diambil terhadap rumah tersebut atau tidak. Sekiranya ada, eloklah dielakkan. Itupun jika anda tidak sanggup untuk berhadapan dengan kerugian sebagaimana yang saya nyatakan di atas.

Tetapi kalau anda rasa anda hendak beli jugak rumah tersebut sebab hendak tolong penjual yang dalam kesempitan hidup tersebut, silakanlah, saya tidak menghalang. Terpulanglah kepada anda. Itu hak anda. Duit, duit anda, bukan duit saya.
Oleh:

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

10 JENIS URUSNIAGA JUAL BELI HARTANAH YANG BERISIKO.

10 JENIS URUSNIAGA JUAL BELI HARTANAH YANG BERISIKO.

HartaGuam ingin menasihati orang ramai agar elakkan daripada terlibat dengan urusniaga jual beli hartanah yang dikategorikan berisiko.
Diantara urusniaga jual beli hartanah yang berisiko tetapi sering dilakukan oleh masyarakat kita adalah seperti berikut:

1. Membeli rumah daripada pemaju yang tidak mempunyai lesen pemajuan perumahan yang sah daripada KPKT

2. Membeli tanah lot yang belum ada geran individu yang berasingan.

3. Membeli tanah pertanian yang mana pemilik asalnya telah meninggal dunia dan belum diturunmilik kepada waris.

4. Membeli rumah strata yang belum ada hakmilik strata sedangkan pemajunya telah digulungkan (wound-up).

5. Membeli rumah sub-sale daripada pemilik yang mana rumah tersebut dalam proses tindakan lelongan oleh pihak bank.

6. Membeli hartanah di bawah skim yang pelik-pelik yang mensyaratkan pembeli menjelaskan bayaran secara tunai dan syarat-syarat lain yang berkaitan.

7. Membeli hartanah tanpa menggunakan khidmat peguam sedangkan hartanah tersebut masih tidak bebas daripada bebanan (not free from all encumbrances), misalnya hartanah tersebut masih digadaikan kepada bank.

8. Membeli hartanah lelong yang ada kaveat di atasnya.

9. Membeli tanah felda atau tanah berkelompok yang mempunyai sekatan kepentingan tanpa mendapat kebenaran pindah milik secara bertulis daripada Pihak Berkuasa Negeri.

10. Membeli hartanah secara sambung bayar pinjaman bank pemilik tanpa membuat pindahmilik kepada pembeli.
Oleh;
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

Ways to success

Human