Rabu, 28 April 2010

susu ibu

Utusan: 20/04/2010

Bayi susu ibu IQ tinggi




SUSU ibu adalah anugerah pemakanan yang terbaik untuk setiap bayi. Pakar perubatan mengakui ia tidak boleh ditandingi oleh apa jenis susu formula sekali pun.

Hakikatnya susu ibu mengandungi segala kebaikan yang diperlukan oleh bayi dalam jumlah yang betul iaitu protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral.

Menurut Pakar pemakanan dari Universiti California, Dr. J. Bruce German, khasiat susu ibu terlalu banyak berbanding apa juga jenis susu formula.

Antaranya ia mempunyai kolestrum, iaitu cecair berwarna kekuningan yang keluar sebelum susu keluar, yang membantu sistem pencernaan bayi dan menambah baik sistem imunisasi badan bayi.

"Susu ibu adalah zat makanan paling ideal untuk bayi sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan pertama.

"Ia cukup berkesan memastikan pembesaran sempurna, mengelak jangkitan penyakit, menggalakkan perkembangan kecerdasan anak dan menghindari obesiti serta penyakit,'' katanya dalam satu sesi yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Katanya, bayi yang diberikan susu ibu kurang mengalami alahan, sakit usus, pencernaan dan asma kerana susu ibu juga mempunyai antibodi.

Menurut German lagi, susu badan sepatutnya diberi sebaik saja bayi dilahirkan dan perlu diteruskan sehingga bayi berusia enam bulan.

"Situasi ini penting kerana proses penyusuan badan juga dapat mengubah kehidupan wanita bergelar ibu pada kehidupan yang lebih bermakna,'' jelasnya.

Beliau yang berpengalaman dalam bidang nutrisi lebih dari 10 tahun memberitahu, selain kelebihan untuk bayi, ibu turut mendapat banyak manfaat daripada penyusuan badan seperti mengurangkan pendarahan selepas bersalin.

"Malah sesetengah ibu yang menyusukan badan tidak mengalami putaran haid selagi bayinya menyusu.

"Lebih menarik lagi bagi ibu yang menyusukan bayi dengan susu badan dapat mengembalikan berat badan seperti sebelum hamil dengan lebih cepat.

"Perlu diketahui bahawa setiap wanita akan mengalami penambahan berat badan sekurang-kurangnya 12 kilogram ketika hamil, malah ada juga mengalami sindrom metabolisme seperti obesiti, tekanan darah, penambahan glukosa dan sebagainya. Melalui penyusuan bayi banyak membantu situasi tersebut kembali menjadi normal

"Jadi menjadi satu kerugian besar apabila wanita yang bergelar ibu tidak menyusukan bayi dengan susu badan hanya kerana percaya dengan tanggapan bahawa ia boleh menjejaskan bentuk badan si ibu,'' tegasnya lagi.

Bukan setakat itu saja, menurut German, menyusukan bayi dengan susu badan juga dapat mengurangkan risiko osteoporosis atau kerapuhan tulang pada anak.

"Hal ini berlaku, sekiranya ibu menyusukan secara berterusan anak tersebut selama lapan bulan, tulang mereka akan menjadi semakin kuat," katanya.

Selain itu, menurut kajian yang telah dilakukan bayi yang diberikan susu ibu mempunyai tahap kecerdikan (IQ) yang lebih tinggi dan lebih bijak apabila membesar.

"Justeru bagi ibu bapa yang baru menerima kehadiran cahaya mata, pastikan bayi anda menerima susu ibu khususnya dalam sejam pertama kelahiran bayi.

"Ini kerana bayi khususnya yang mengalami kekurangan berat badan, sangat memerlukan kolestrum iaitu nutrien penting yang terdapat dalam susu ibu," katanya.

Beli Rumah


Saya nak beli rumah. tapi duit tak cukup. Jadi bank yang baik hati pun tolong belikan rumah itu sebab dia ada duit. Kemudian dia akan jual kepada saya dengan harga yang lebih tinggi. lebihan harga itu akan jadi keuntungan bank yang baik hati ini. Ok.. selesai.

Tetapi malangnya ini bukannya praktik tetapi setakat konsep sahaja.

Cuba tengok loan rumah. Bank akan beli dahulu kemudian jual semula kepada kita. Bank pun dapat untung. suka hatinya dia.

Tetapi kalau ditakdirkan projek rumah itu terbengkalai. Jadi bank yang menjadi tuan punya barang sudah tidak dapat menyediakan barang ( rumah ) itu kepada pelanggannya. Jadi sudah langgar syarat kontrak. Jadi bayaran bulanan yang dikernakan itu sudah tidak perlu dibayar lagi. Sebab saya yang merupakan pelanggan yang dijanjikan rumah tetapi bank tidak dapat menyediakannya. Memanglaa projek yang terbengkalai itu kerja pemaju tetapi yang patutnya menanggung risiko bukannya kita tetapi pihak bank. sebab saya beli dari bank bukannya pemaju..

1. Berikut adalah komen berkaitan financing property under construction.

2. Pembiayaan rumah dalam pembinaan mempunyai satu risiko yang besar. Kalau rumah tak siap, amacam ? Siapa yang patut tanggung risiko?

3. Bank, mempunyai tanggungjawab untuk memastikan deposit pelanggan tidak hilang. Justeru, mereka sebolehnya akan memastikan risiko rumah tidak siap ditanggung oleh pihak lain. Inilah pendekatan pengurusan aset-liabiliti yang sedia ada.

4. Cuma apa yang saya tahu sekarang, ada bank-bank Islam yang sudah menapis senarai pemaju untuk mengelakkan masalah terdahulu. Jadi, hanya pemaju yang betul-betul ada reputasi yang baik sahaja akan diterima. Untuk pemaju baru bermula dan kecil agak sukar.

5. Pendekatan terbaru ini juga ada buruknya kerana pemaju yang baru bermula dalam industri hartanah tidak dapat melantik bank-bank Islam tertentu untuk menjadi panel. Justeru, pelanggan mempunyai pilihan bank riba yang lebih banyak.

6. Apa yang boleh buat kalau terkena ? Bank barangkali tidak mahu berapa nak layan. Apa yang boleh buat, berhubunglah dengan Bank Negara Malaysia kerana selalunya bila BNM bagi arahan, baru bank-bank akan buat.

7. Struktur yang betul adalah menggunakan kontrak istisna’ untuk pembiayaan sebegini. Walaupun pada masa akan datang ada bank yang menawarkan produk pembiayaan dengan kontrak ini, pengguna perlu betul-betul faham isi kandungan perjanjian yang ditandatangani untuk memastikan risiko rumah tidak siap ditanggung oleh siapa. Jangan biasa terus tandatangan perjanjian tanpa meneliti apa yang terkandung di dalamnya.

8. Perkembangan terbaru juga menyaksikan bank-bank Islam mula mewujudkan jabatan / unit pematuhan Shariah (Shariah compliance) untuk memastikan isu sebegini diselia dengan lebih teliti.

9. Seperti mana yang dinasihatkan oleh para pelabur hartanah, pastikan kita semua membeli rumah dari pemaju yang mempunyai reputasi yang baik dan proven track record. Peranan kita sebagai pengguna adalah sangat besar. Selain pengguna boleh mengajar bank-bank Islam supaya mengeluarkan produk yang lebih baik, pengguna juga boleh mengajar pemaju agar menjadi lebih bertanggungjawab kerana isu rumah tak siap ini bukan salah satu pihak sahaja. Malah, mungkin polisi siap baru jual juga akan diperkenankan oleh kerajaan untuk dilaksanakan.

10. Pegawai-pegawai Shariah di bank juga kelihatan berusaha keras memberikan kesedaran ini di peringkat dalaman untuk memastikan prinsip Shariah betul-betul dilaksanakan. Semoga usaha gigih mereka akan membuahkan sesuatu yang lebih baik untuk semua pihak dalam perkembangan perbankan Islam di Malaysia.



Jumaat, 16 April 2010

Keyakinan diri


Dalam hati menidakkan tetapi rasa tidak gamak meluahkan. Diri terpaksa mengiakan sedangkan sebenarnya tidak rela berkata begitu. Demikianlah kita selalu dihimpit rasa serba salah dan selalu terperangkap dalam kehidupan atas nama tugas.

Komitmen peribadi, kesetiaan dan tanggungjawab itulah yang sering menjadi perangkap yang memenjarakan manusia dan terasa sukar untuk mencari jalan keluar.

Seseorang tidak boleh meminggirkan diri sendiri dan menjadi pulau yang sukar didekati. Oleh itu salah satu cara untuk melayan orang lain dengan baik adalah dengan melayan diri sendiri dengan lebih baik dahulu. Apabila diri dilayan dengankasih sayang, maka dengan sendiri, kita akan meyayangi orang lain.

Bagaimana untuk melepaskan diri daripada perangkap itu ?

Belajarlah untuk memahami diri sendiri, apa yang anda harapkan dalam hidup, apa yang menyekatnya dan apa yang perlu untuk mengembiran hati sendiri dengan baik terlebih dahulu. Selain itu, ambil tindakan positif untuk meningkatkan kemahiran diri dengan memahami latar diri sendiri, dalami dilema yang melanda diri dan buangkan segala halangan yang menggangu.

menjadi cemerlang


Setiap orang yang bergelar pekerja tentu pernah memasang azam untuk menjadi pekerja cemerlang. Tidak kira sekadar hangat2 tahi ayam atau sekadar membara semasa mula mula bekerja dahulu.

Menjadi pekerja cemerlang tidak semudah dengan menyebutnya. Konsep kecemerlangan adalah bersifat relatif mengikut penghayatan individu. Ia merupakan satu konsep yag dinamik.

Hubungan antara pekerja dengan organisasi ( majikan ) adalah lebih bersifat tukar ganti. Pekerja menggunakan kemahirannya untuk membangunkan organisasi sebagai tindak balas dan organisasi memberikan imbuhan atau gaji yang seimbang.

Untuk menjadi cemerlang, seseorang mesti berusaha merubah dengan lebih positif. Untuk menjadi cemerlang juga, selalunya seseorang harus melalui fasa - fasa kehidupan yang tertentu yang pelbagai variasi. hanya diri sendiri yang boleh menjawab sama ada dia mahu menjadi cemerlang atau pun tidak.

Perbankan Islam Vs Perbankan Konversional

KORPORAT

ARKIB : 12/04/2010

Hasrat saya tersekat – Jamelah


JAMELAH JAMALUDDINKetua Pegawai Eksekutif Kuwait Finance House (M) Bhd.


KUALA LUMPUR 11 April – Tindakan bank-bank konvensional mengekang operasi bank cawangan Islam yang menjadi anak syarikat mereka, dilihat membantutkan entiti itu daripada berkembang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kuwait Finance House (M) Bhd. Jamelah Jamaluddin, pengalamannya menunjukkan terdapat kecenderungan yang sedemikian di kalangan bank- bank konvensional di negara ini.

Jamelah, bekas Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Bhd. berkata, masalah itu menyebabkan beliau memilih untuk meninggalkan kumpulan perbankan berkenaan.

Sambil menegaskan beliau tidak mempunyai masalah lain dengan pihak pengurusan atasan, Jamelah berkata: ‘‘Bank Islam itu cuma anak syarikat (bank konvensional), cuba jika sebaliknya, ia akan wujud kelainan, lain cara layanan dan pengurusannya dan ia (bank Islam) akan berkembang.

‘‘Pada masa ini, jika kita (bank cawangan Islam) mahu berkembang, kita akan kena ‘ketuk’. Bagaimana, kita boleh berkembang?, soal beliau.

Jamelah berkata, masalah berkenaan perlu dilihat secara serius tetapi malang terdapat pihak yang cuba menafikannya.

‘‘Ini dialami oleh semua CEO yang berada dalam bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional.

‘‘Apa yang saya bimbang selepas ini tiada siapa lagi mahu menjadi CEO mana-mana bank Islam lagi,’’ kata Jamelah. Berikut adalah transkrip penuh temu bual beliau dengan wartawan Utusan Malaysia, AZMAN IBRAHIM di sini baru-baru ini.

UTUSAN: Kenapa saudari lebih banyak low profile ketika menerajui bank Islam di bawah Kumpulan RHB berbanding Kuwait Finance House (KFH) sebelum ini?

JAMELAH: Secara jujurnya, saya fikir ia adalah disebabkan persekitaran yang wujud di situ. Kumpulan perbankan di Malaysia mempunyai dua bentuk perbankan - Konvensional dan Islam. Jika dibandingkan kedua-duanya dibaratkan jauh panggang dari api.

Bank konvensional itu lebih besar dan lama atau tua sifatnya. Jadi dalam situasi macam itu, anda boleh fikir siapa kawal siapa? Sudah tentu bank konvensional kawal bank Islam.

Jadi, kebanyakan apa yang ingin saya lakukan di dalam perbankan Islam mendapat tentangan daripada pihak yang berada dalam bank konvensional. Itu bukan hanya masalah saya sahaja sebenarnya. Ini dialami oleh semua CEO yang berada dalam bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional.

Jadi, saudari mengatakan wujud kekangan (untuk melakukan sesuatu) dalam operasi mana-mana bank Islam yang berada di bawah kumpulan bank konvensional?

Ya, semua bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional di Malaysia. Saya merasakan terdapat tekanan dalam mengurus perbankan Islam. Meskipun kita memiliki orang yang terbaik untuk mengendalikannya tetapi mereka tidak dapat ke depan. Ini kenyataan dan pastikan anda menyiarkannya.

Boleh saudari jelaskan lebih lanjut?

Kumpulan perbankan yang memiliki sistem perbankan konvensional sendiri merupakan penyebab kenapa bank Islam di bawahnya tidak dapat bergerak. Bank Islam itu cuma anak syarikat, cuba jika ia sebaliknya, ia akan wujud kelainan, lain cara layanan dan pengurusannya dan ia akan berkembang. Pada masa ini, jika kita (bank cawangan Islam) mahu berkembang, kita akan kena ‘ketuk’. Bagaimana, kita boleh berkembang?

Tidakkah saudari bimbang mengeluarkan kenyataan ini?

Saya sangat serius. Ini merupakan masalah yang setiap orang cuba menafikannya.

Adakah wujud tekanan ketika menerajui bank Islam yang berada dalam kepompong kumpulan konvensional?

Saya pernah berkerja bank Islam (maksud saya 100 peratus bank Islam bukan di bawah bank konvensional) dan dilatih di bawah persekitaran itu. Jadi, semasa saya berada di sana, budaya kerja itu sudah jadi lain. Di sana, kita jadi pengikut bukan pengasas. Itulah perbezaannya.

Jadi saudari gembira untuk kembali KFH?

Oh! semestinya.

Tidak takut bahawa kenyataan ini kontroversi sifatnya?

Saya bersedia untuk berdiri dan berjuang dengan kenyataan yang dikeluarkan dan saya juga berasa gembira diberi peluang untuk mengemudi semula KFH. Saya berpendapat semua CEO bank Islam (di dalam kumpulan bank konvensional) perlu melaksanakan perbankan Islam sepenuhnya. Mereka tidak boleh bergerak sebagai hanya bank cawangan Islam. Apa yang saya bimbang selepas ini tiada siapa mahu menjadi CEO mana-mana bank Islam lagi.

Ini merupakan pengalaman pertama saudari berkhidmat di bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional. Tidakkah ia mengecewakan?

Saya kecewa kerana apa yang berlaku bukan masalah pemimpin dalam bank cawangan itu sendiri, tetapi institusi yang berada di sekelilingnya. Saya berharap orang dapat baca kenyataan ini dan semua CEO bank Islam tahu dan sedar mengenai perkara ini.

Adakah saudari memilih untuk berpindah ke KFH kerana isu pilih kasih atau gender?

Tidak. Di sana tidak wujud masalah itu, begitu juga di KFH. Malah, di KFH, saya merupakan ketua pegawai eksekutif wanita pertama. Saya terkejut masalah (gender) itu tidak wujud. Rasa hormat juga ada. Cuma, ketika bekerja di bank cawangan Islam, pihak konvensional sahaja tidak mahu kami bergerak.

Kini, saudari kembali berada

di KFH, apakah misi yang ingin dicapai?

Saya akan meneruskan perjuangan kami menjadi bank yang mematuhi prinsip Syariah sepenuhnya. Saya mahu KFH terus berkembang dan memberi pulangan yang baik kepada pemegang saham. KFH juga akan dijadikan lebih inovatif dalam menawarkan produk-produk kewangan berasaskan Islam.



Rabu, 14 April 2010

Seni Mempengaruhi


Menjadi ketua tidak semudah menyandang jawatan. " Seni mempengaruhi" antara perkara yang dapat menjadikan seorang ketua menonjol dan dihormati ramai. Namun seni itu tidak datang sendiri, sebaliknya mesti dipelajari.

Pernahkah anda terfikir bagaimanakah Rasulullah swt memimpin sehingga suaranya begitu berpengaruh dan berjaya merentasi sempadan?.

" Jika kita berhenti belajar bermakna kita berhenti membesar". Sebagai ketua kita mestilah bersifat responsif terhadap keperluan pekerja jika kita mahu orang bawahan melakukan kerja dengan penuh tanggungjawab

Sebenarnya " seni mempengaruhi " adalah perkara yang menjadi rutin harian kita. tetapi kita mungkin mengabaikanya kerana menggangap tidak perlu atau barangkali kita terlupa sejenak bahawa kita semua adalah pemimpin kepada diri sendiri

Kepercayaan Dan Keyakinan


Dalam dunia pekerjaan, semua orang ada kelebihan tersendiri tidak kira apa pun level anda dalam organisasi tersebut. Hatta pembacuh kopi sekalipun kadangkala dapat mengeluarkan idea yang baik jikalau kita memberi peluang yang baik kepadanya untuk mengeluarkan pendapat.

Jika anda seorang ketua, jangan jadi seorang pemimpin kuku besi, segala galanya mahu dibuat sendiri mengikut hati sendiri, segalanya mahu datang dari anda seorang. Baik idea atau cadangan. Sesi yang sepatutnya menjadi sesi perbincangan bertukar menjadi sesi arahan sehinggakan orang bawahan anda hanya menjadi burung belatuk. hanya mengiya dan mengangguk.

Sebagai seorang ketua, cuba beri sedikit kepercayaan pada orang bawahan anda membuat keputusan. Kepercayaan yang diberikan harus diikuti dengan keyakinan bahawa mereka boleh melakukan... berikan kepercayaan dan lihat hasilnya..

Selasa, 13 April 2010

Menu bagi Ibu mengandung


5 langkah mudah tentang pola pemakanan bagi wanita hamil:

1. Rajin makan supplemen, Pil Vitamin terutama asid folic dan Obamin. Biasanya suplemen ini dilengkapi dengan berbagai vitamin dan mineral dengan jumlah yang telah disesuaikan dengan keperluan seorang ibu hamil. Vitamin dan mineral antara lain terdiri dari asid folate, besi, iodin, vitamin D, kalsium, dan vitamin A dan banyak lagi.

2. Jaga berat badan. Seorang wanita hamil hanya memerlukan 300 kalori tambahan tiap - tiap hari untuk menyokong pertumbuhan bayinya. Jumlah tersebut setara dengan kandungan dari satu penyajian yoghurt atau sepotong buah. Jadi tidak perlu makan berlebihan yang hanya akan mengakibatkan pertambahan berat di luar kewalan.

3. Makan makanan yang bernutrisi. Gunakan piramida makanan sebagai panduan menentukan variasi menu harian. Pastikan menu yang dimakan adalah mencukupi semua keperluan nutrisi yang meliputi karbohidrat, serat, protein, vitamin, mineral, dan kalsium.

4. Kurangkan pengambilan lemak. Pastikan Jumlah lemak yang diambil tidak melebihi 30% dari jumlah harian. Sebaiknya ambil produk yang mempunyai kadar lemak yang rendah.

5. Perbanyak minum air dengan kadar yang tetap, terutama air putih, sebanyak 6 hingga 8 gelas sehari. Ini dapat membantu kelancaran pembuangan toksin yang tidak diperlukan tubuh melalui kulit, ginjal, dan kolon. Selama hamil, ibu perlu memastikan tahap kebersihan diri.

Selain itu, sebaiknya elakkan pengambilan produk minuman atau makanan yang mengandung kafein.
Mudah-mudahan ini dapat membantu meningkatkan kesihatan ibu dan anak yang dikandung insya allah..

Tanggungjawab


Ihsan Dari Smartstart LPPKN


ADA banyak perkara yang perlu anda pertimbangkan dalam hubungan anda sebagai pasangan kekasih kerana ia akan mempengaruhi masa depan kehidupan anda bersama.


Perkahwinan bukan sekadar berpandukan kepada cinta semata-mata. Jika cinta yang dijadikan asas, besar kemungkinan perkahwinan yang didirikan berhadapan dengan pelbagai masalah.

Pandangan keluarga, perancangan masa depan, persamaan dan perbezaan antara anda dan teman perlu dibincangkan bersama sebelum anda mencapai kata sepakat untuk mendirikan rumah tangga.

Bak kata orang, perkahwinan bukan sekadar anda dan pasangan, sebaliknya ia membabitkan banyak pihak dan isu. Ketika bercinta semuanya indah, tetapi apabila sudah melangkah ke alam perkahwinan barulah tampak kepincangan masing-masing.

Tanpa perbincangan, anda akan mengalami pelbagai masalah kelak, justeru tetapkan hala tuju anda dan pasangan sebelum mengambil langkah lebih serius. Persoalan berikut mungkin boleh dijadikan pertimbangan.

Pengalaman ketika kecil ketika bersama keluarga.

Apakah pengalaman duka masa kanak-kanak akan menjejaskan perkahwinan anda?

Kasih sayang daripada ibu bapa.

Apakah ibu bapa anda mesra, mengambil berat dan penyayang atau adakah mereka sering berselisih faham?

Latar belakang agama.

Adakah anda seorang yang beriman dan bertakwa?

Pendidikan.

Apakah anda dan pasangan memiliki taraf pendidikan yang sama? Apakah anda berasa tergugat jika pasangan anda memiliki taraf pendidikan yang lebih tinggi? Apakah anda bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran?

Latar belakang budaya dan sosioekonomi.

Bandingkan latar belakang masing-masing - lebih besar perbezaan antaranya maka lebih besarlah kemungkinan wujudnya masalah berkaitan adat resam, kehidupan berkeluarga, harapan tradisi dan sebagainya.

Kepintaran.

Apakah anda lebih pintar daripada pasangan anda atau sebaliknya? Apakah ini mungkin mencetuskan rasa iri hati?

Hubungan dengan mentua.

Apakah pandangan saudara mara anda mengenai calon pilihan anda dan bagaimana hubungan anda dengan mentua?

Sikap dari segi kewangan.

Apakah anda akan berbincang mengenai cara menguruskan kewangan selepas berkahwin?

Bilangan anak.

Apakah anda dan pasangan bercanggah pendapat mengenai bilangan anak dan perancangan keluarga? Apakah anda berbincang mengenai tanggungjawab sebagai ibu bapa dan cara membesarkan anak?

Masalah seksual.

Apakah perasaan anda dan pasangan terhadap kemampuan seksual masing-masing? Anda berdua patut menjalani pemeriksaan fizikal dan khidmat kaunseling bagi memastikan tiada masalah seksual.

Pemilih tempat tinggal.

Di manakah anda berdua akan tinggal selepas berkahwin - di rumah sendiri atau mentua. Jika memilih untuk tinggal di rumah mentua dapatkah anda menyesuaikan diri dengan mereka?

Anda Bersedia Untuk Menjadi Ibu Bapa?

Dalam perkahwinan, pasangan biasanya akan merancang untuk mempunyai anak. Perkara ini wajar dibincangkan ketika anda merancang untuk berkahwin. Ada banyak persoalan yang perlu dijawab terlebih dulu. Adakah anda benar-benar mahukan anak? Berapa ramai? Bila? Anda dan pasangan wajar membincangkan tahap persediaan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa, juga sama ada anak akan melengkapi kehidupan berkeluarga serta beban kewangan yang bakal dihadapi.

Selasa, 6 April 2010

sabar


Iman Ghazali menjelaskan:
Sabar ialah tetap tegaknya dorongan agama ketika berhadapan dengan
dorongan hawa nafsu. Dorongan agama adalah hidayah Allah kepada manusia
untuk mengenalNya, RasulNya, serta untuk mengetahui dan mengamalkan ajaranNya serta perkara-perkara yang berkenaan dengan akibatnya. Sabar iaitu sifat yang membezakan manusia dengan binatang dalam hati menundukkan hawa nafsu. Sedangkan dorongan hawa nafsu ialah tuntutan syahwat dan keinginan yang meminta dilaksanakan.

Sesiapa yang yang tetap tegak bertahan sehingga dapat menundukkan dorongan
hawa nafsu secara terus menerus, orang tersebut termasuk golongan 0rang-orang yang sabar.

“ …dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar,
dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan
lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran.”

Riwayat Bukhari dan Muslim

Isnin, 5 April 2010

Akhlak


Di dalam hidup manusia, pelbagai perkara berlaku dan terjadi. Kehidupan manusia terbina dengan kesenangan, kepayahan, kedukaan, kegembiraan dan 1001 macam perasaan dan situasi. Kehidupan manusia juga terbina dengan kehadiran manusia lain di dalamnya. Anak-anak, isteri, suami, ayah, ibu, kawan-kawan, musuh dan sebagainya…

Kehidupan manusia juga terbina dengan akidahnya, pegangannya dan kefahamannya. Namun kehidupan yang bagaimanakah kita mahukan?

Akhlak mulia hakikatnya merupakan salah satu asas terpenting dalam ajaran Islam untuk membina peribadi dan memperbaiki masyarakat. Perkara tersebut dikatakan asas terpenting kerana keselamatan masyarakat, kekuatan, kemuliaan, dan kewibawaan peribadi-peribadinya sangat bergantung kepada sejauh mana mereka berpegang dengan akhlak mulia tersebut. Sebaliknya masyarakat akan hancur dan rosak tatkala mereka meninggalkan dan menjauhi akhlak yang terpuji.

“Tiada suatu perkara yang paling memberatkan timbangan (kebaikan) seorang Mukmin pada hari kiamat selain daripada akhlak mulia, dan sesungguhnya Allah amat benci kepada seorang yang buruk perbuatan dan ucapannya.” (Riwayat at-Tirmizi dan disahihkan oleh Syaikh Albani)

“Sesungguhnya orang yang paling aku cintai antara kalian dan paling dekat tempat duduknya denganku pada hari kiamat ialah yang paling bagus akhlaknya, dan sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh tempat duduknya dariku pada hari kiamat ialah tsartsarun (yang banyak bicara), mutasyaddiqun (yang bicara sembarangan lagi mencela manusia) dan mutafaihiqun.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, kami telah mengetahui tsartsarun dan mutasyaddiqun, tetapi siapakah mutafaihiqun itu?” Rasulullah menjawab, “Mutakabbirun (orang yang sombong).” (Riwayat at-Tirmizi dan disahihkan oleh Syaikh Albani)

Ahad, 4 April 2010

tahajud


Sesungguhnya Sholat tahajud meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita untuk menghadapi masalah hidup duniawi dan lain-lain .

Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah." ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )

"Dan pada sebagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu: mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji." (Surah al-Isra' 17: 79)
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah." ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )


Sabtu, 3 April 2010


Dendam ibarat virus+bom jangka pada masa yang sama. Ia adalah virus yang menghakis kebahagiaan hati, juga bom jangka yang akan meledakkan kemarahan dan menghancurkan harmoni.

Dendam biasanya bermula dengan marah. Rasa tidak puas hati. Akhirnya syaitan menyalutnya dengan benci. Kadangkala, suasana ini bermula dengan posisi kita sebagai pesalah. Kita tidak puas hati ditegur. Kita timbulkan 1001 alasan untuk membuatkan teguran itu sesuatu yang perlu kita marahkan. Kadangkala, suasana ini bermula dengan posisi kita sebagai tidak bersalah. Tiba-tiba ada orang aniaya kita, dan melakukan sesuatu yang buruk pada kita atau sengaja membuatkan kita marah. Maka kita timbulkan 1001 alasan untuk membuatkan situasi itu sebagai lesen untuk menghamburkan amarah.

Mungkin kita akan rasa puas hati lepas marah-marah sebentar. Tetapi, ia memberikan luka yang dalam. Baik kepada yang dimarahi, atau kita sebagai pemarah.

Sebab itu, Islam menganjurkan bermaafan.

Sebab dengan kemaafan, hati manusia itu akan bahagia.

Memang tidak mudah. Kita akan rasa diri kita dipijak. Kita akan rasa bahawa kitalah yang kalah. Kita akan rasa bahawa dengan memaafkan maka kita kelihatan seperti pesalah.

Kita rasa bahawa: “Dia salah, maka dia kenalah merana atas kesalahannya”

Bukan mudah memaafkan. kita sedar, yang menghadang antara memaafkan dengan tidak adalah sebuah tembok bernama Ego.

Tetapi, apakah jalan ke arah kebahagiaan itu mudah-mudah sentiasa?

Tidak. Ia memerlukan pengorbanan.

Maka, untuk mendapat ketenangan hati dari tindakan memaafkan orang ini, kita perlu mengorbankan ego kita.

Kita percaya bahawa, Allah akan memberikan kita sesuatu yang lebih baik, apabila kita memaafkan sesiapa yang menganiaya kita.

“…dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Surah An-Nuur ayat 22.

Ganjarannya adalah keampunan Allah. MasyaAllah… hanya dengan memaafkan.

Tidakkah ganjaran itu sangat besar berbanding kesakitan jiwa memendam amarah?

Memaafkan mempunyai khasiat yang banyak. Selain menjaga hubungan harmonis antara sesama manusia, ia juga mengetuk kesedaran jiwa akan kesalahan diri sendiri terhadap orang lain.

Sebagaimana Rasulullah SAW yang amat pemaaf, sifatnya itu mengetuk kesedaran pada ramai musuh-musuhnya. Kita dapat melihat betapa besarnya peribadi Rasulullah SAW apabila baginda memaafkan seluruh kaum Musyrikin Makkah ketika peristiwa Fathu Makkah.

Harun Yahya pula, ada menyatakan bahawa, dengan memberikan kemafaan pada orang lain, ini akan membantu kesihatan. Dua buku karangan orang bukan Islam, telah menyokong pendapat ini. Buku yang pertama adalah: Forgive for Good by Dr Federic Luiskin dan Forgiveness by Healing Current Magazine. Kedua-dua buku ini menyatakan betapa memaafkan itu dapat mengurangkan stress, dan mengekalkan kemudaan. Kedua-dua buku ini juga menyatakan bahawa, menyimpan dendam, menahan kemaafan adalah mampu merosakkan sistem tubuh. Hal ini kerana, apabila mansuia berterusan marah, maka kitar suhu tubuh dan peraliran darahnya menjadi tidak teratur dan tidan seimbang.

Islam sebagai satu cara hidup, yang diturunkan oleh Allah SWT yang Maha Mengetahui, ternyata telah merungkai perkara ini terlebih dahulu. Sebab itu, kita dapat melihat betapa tenangnya kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat, apabila mereka sentiasa memaafkan dan tidak pula berdendam.

Mereka tidak terjun merosakkan hati dan diri mereka dengan memanjangkan perkara yang tidak sihat.

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;” Surah Al-Furqaan ayat 63.

Bila kita memaafkan seorang pencuri, apakah kita menghalalkan tindakannya mencuri? Bila kita memaafkan seorang yang menganiayai kita, apakah kita menghalalkan tindakannya menganiayai kita?

Tidak. Perbuatan salah itu tetap salah.

Adakah memaafkan itu bermaksud tidak menegur?

Tidak. Kita tetap menegur.

Beza orang yang memaafkan menegur, dengan orang yang marah-marah menegur, orang yang memaafkan itu lebih bersih tegurannya. Dia tidak bersalut emosi yang melampau. Dia menegur memang betul-betul kerana dia faham tanggungjawabnya untuk menegur.

Apakah memaafkan ini bermaksud kita tidak boleh marah?

Tidak. Kita boleh marah. Tetapi bagaimanakah marah yang sebenarnya? Terbina di atas apakah kemarahan kita? Semestinya kita marah pun, mengikut neraca Allah SWT.

Memaafkan adalah untuk kita sebenarnya. Dengan memaafkan, bermakna kita sedang taat kepada Allah SWT. Memaafkan, bermakna kita sedang berusaha menaga jiwa kita.

Syaitan, menjadikan amarah manusia, sebagai kuda tunggangannya.

Kita sebagai manusia, diberikan pilihan untuk berikhtiar. Maka, kita tidak dipaksa untuk memaafkan mahupun untuk tidak memaafkan. Kita yang pilih.

Namun, setiap pilihan ada konsikuensinya yag tersendiri.

Apakah tidak memaafkan itu memberi manfaat yang besar pada diri kita, dan juga pada orang lain? Apakah memaafkan itu memberikan mudarat yang besar pada diri kita dan juga pada orang lain?

Sebab itu, dalam membuat pilihan, sebaiknya kita mengambil neraca Allah SWT. Kita tidak mengetahui, tetapi Allah SWT Maha Mengetahui.

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah At-Taghabun ayat 14.

“Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” Surah Asy-Syu’ara ayat 43.

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;(Siapakah orang-orang yang bertaqwa?) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”Surah Ali Imran ayat 133-134.

Justeru, pilihan di tangan kita.

Memaafkan, atau tidak memaafkan.